MP PJ Minta MOF Jelaskan Isu Cadangan Pengambilalihan Datasonic

KUALA LUMPUR | 28 Ogos 26 — Kementerian Kewangan (MOF) diminta menjelaskan kedudukan kerajaan berhubung laporan cadangan pengambilalihan Datasonic Group Berhad, syarikat yang mempunyai kontrak membekalkan pasport Malaysia dan MyKad.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, kenyataan berbeza antara MOF dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar kerajaan terhadap perkara berkenaan.

Menurutnya, Datasonic kini memegang kontrak kerajaan berkaitan pembekalan pasport dan MyKad sehingga 2032, dengan nilai kira-kira RM2.46 bilion.

Beliau berkata, NexG sebelum ini mendedahkan bahawa kerajaan mungkin mengambil alih Datasonic pada nilai RM7.5 bilion.

Lee turut merujuk laporan media yang mendakwa MOF dalam satu pertemuan pada 24 Julai meminta Datasonic mengemukakan tawaran indikatif berhubung kemungkinan pengambilalihan.

Namun, katanya, selepas perkara itu dilaporkan, MKN yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri menyatakan kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk mengambil alih Datasonic, anak syarikat NexG.

“Jika kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk mengambil alih syarikat itu, mengapa tawaran indikatif dilaporkan diminta pada peringkat awal?” katanya dalam kenyataan media bertarikh 27 Ogos.

Sebagai anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kewangan dan Ekonomi, Lee meminta MOF menjelaskan sama ada permintaan tawaran indikatif itu benar-benar dibuat, pihak yang membuat permintaan serta asas dan kuasa di sebalik pertemuan berkenaan.

Beliau turut mahu MOF menjelaskan sama ada cadangan pengambilalihan pernah dipertimbangkan secara rasmi, masih dalam pertimbangan atau telah dibatalkan.

Lee berkata, penjelasan itu penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang awam dan pasaran susulan kenyataan berbeza daripada agensi kerajaan.

Menurutnya, tidak menjadi masalah sekiranya kerajaan menegaskan tiada rancangan untuk mengambil alih Datasonic, namun persoalan mengenai laporan permintaan tawaran indikatif itu perlu terlebih dahulu dijelaskan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share