
KUALA LUMPUR, 19 Dis 2025 — Dalam perkembangan terbaru berkaitan isu Justice for Zara, Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah tampil membuat penafian tegas terhadap dakwaan bahawa dana tabung tersebut diseleweng atau disalahgunakan.
Setiausaha organisasi, Sitti Fhaizah Mukthar, berkata dana yang dikumpulkan menerusi tabung #JusticeForZara ditubuhkan khas untuk menyokong keluarga mangsa serta membiayai kos perbicaraan inkuiri dan perkara itu telah dijalankan mengikut prosedur serta peraturan undang-undang yang terpakai.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan penyalahgunaan atau penyelewengan dana,” jelasnya dalam kenyataan, sambil menegaskan setiap perbelanjaan disokong oleh resit rasmi dan dokumentasi lengkap.
Rekod kutipan dan perbelanjaan menunjukkan tabung yang dibuka antara 8–12 September 2025 berjaya mengumpul RM255,016.27, di mana RM162,155.87 telah dibelanjakan untuk tujuan yang dinyatakan termasuk kos logistik, penginapan, perkhidmatan pakar dan dokumentasi kes.
Bayu Raudhah juga menegaskan semua rekod telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk semakan dan pemantauan, dan laporan kewangan tabung ini terbuka kepada donor atau badan berwajib yang ingin mengaksesnya.
Isu dana #JusticeForZara menjadi medan perdebatan yang lebih luas di arena sosial dan politik. Sebelum ini, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama yang juga perintis gerakan ini, menegaskan akaun tabung adalah terasing dan telus, serta tidak dicampur dengan akaun NGO lain. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.