
KUANTAN | 1 Mac 26 – Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ketegasan bahawa sebarang perbuatan menghina Islam, mencabar kesuciannya atau menyemai kebencian terhadap agama Allah tidak boleh dipandang ringan dan mesti dikenakan tindakan setimpal menurut undang-undang negara.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Kesultanan Pahang semalam, baginda menegaskan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan istimewa dan wajib dihormati oleh semua pihak.
Menurut titah baginda, sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas serta berlandaskan prinsip keadilan.
Baginda turut menegaskan bahawa pihak berkuasa wajib bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah, namun setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah.
“Penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas,” titah baginda.
Dalam masa sama, baginda mengingatkan agar tindakan tegas yang diambil tidak membakar emosi mana-mana pihak, sebaliknya memastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara.
Mengulas kejadian baru-baru ini, baginda bertitah bahawa isu berkaitan agama mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman negeri jika tidak diurus dengan penuh kebijaksanaan. Justeru, semua pihak diingatkan agar tidak memanipulasi isu sensitif demi agenda tertentu.
Baginda turut menegaskan bahawa kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat perlu memainkan peranan penting dengan menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama serta memastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang.
Baginda menzahirkan harapan agar seluruh rakyat terus menghormati sensitiviti agama dan bersama-sama memelihara keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan negeri Pahang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.