MTEM Bimbang RTA Malaysia – AS Jejas Dasar Bumiputera

KUALA LUMPUR, 30 OKT 25 — Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyuarakan kebimbangan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (RTA) antara  Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berisiko menghapuskan dasar yang menyediakan tindakan afirmatif untuk perniagaan Bumiputera.

Katanya, terdapat peruntukan dalam perjanjian itu berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikhuatiri menjejaskan bantuan kepada bumiputera.

MTEM memetik Klausa 6.2 dalam perjanjian tersebut yang berkaitan dengan pertimbangan komersial bagi syarikat GLC.

Klausa itu mengandungi peruntukan yang menyatakan Malaysia hendaklah mengelakkan daripada memberikan bantuan bukan komersial atau mensubsidi GLC yang terlibat dalam pengeluaran barangan, kecuali bagi memenuhi tanggungjawab perkhidmatan awam mereka.

Menurut MTEM, ia bermakna dasar GLC yang mengutamakan vendor Bumiputera, kuota pembangunan tempatan serta pelaburan strategik berasaskan ekuiti Bumiputera akan terjejas.

“Ini secara langsung bercanggah dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Syarikat milik kerajaan bukan sekadar entiti komersial, tetapi juga instrumen dasar negara. Oleh itu, mengehadkan autonomi entiti ini dalam menyokong dasar Bumiputera merupakan bentuk campur tangan terhadap dasar ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu menambah walaupun Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang ditandatangani tahun lalu, yang turut dibantah MTEM, kini mempunyai perlindungan dan pengecualian bagi menjaga kepentingan Bumiputera.

MTEM sehubungan itu menggesa kerajaan menangguhkan pengesahan perjanjian perdagangan dengan AS sehingga satu analisis menyeluruh mengenai kesannya terhadap ekonomi Bumiputera dijalankan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share