Gabungan UMNO–PAS–BERSATU Bukan Isu Parti, Tetapi Ego Elit Politik – Prof Shamsul Amri

KUALA LUMPUR | 3 Jan 25 — Persoalan sama ada UMNO, PAS dan BERSATU boleh bergabung di bawah Muafakat Nasional (MN) bukan isu utama, sebaliknya bergantung kepada kesediaan elit politik Melayu untuk mengetepikan ego dan kepentingan peribadi demi masa depan orang Melayu, kata Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Mengulas cadangan YB Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya tiga parti Melayu utama itu bergabung dalam MN, ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menegaskan masalah sebenar bukan kekurangan platform penyatuan, tetapi sikap segelintir pemimpin politik yang bongkak dan enggan berunding secara ikhlas.

“Soalnya bukan tiga parti Melayu perlu bersatu, yang penting sama ada elit politik ini sanggup merendah diri ke meja perundingan kerana benar-benar mahu membela masa depan majoriti Melayu, atau sekadar melepas batuk di tangga,” katanya.

Menurut Prof Shamsul Amri, sekiranya Muafakat Nasional mahu dihidupkan semula secara bermakna, ia tidak boleh terbatas kepada rundingan parti politik semata-mata, sebaliknya perlu bersifat nasional dan inklusif.

Beliau berkata, MN wajar melibatkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan sivil, kumpulan belia, persatuan wanita, persatuan orang kurang upaya (OKU) serta golongan siswa dan pengundi muda berusia 18 tahun ke atas.

“Tanpa keterlibatan kelompok masyarakat ini, sebarang muafakat hanya akan menjadi pertemuan elit dan tidak mencerminkan kehendak nasional,” katanya.

Mengulas lanjut perpecahan politik Melayu, Prof Shamsul Amri berkata Malaysia telah melahirkan 10 Perdana Menteri daripada UMNO, namun perpecahan Melayu hari ini lebih berpunca daripada persaingan dan krisis dalaman yang berakar daripada keUMNOan.

Pandangan beliau itu mencerminkan cabaran sebenar penyatuan politik Melayu yang bukan sekadar soal struktur gabungan, tetapi kejujuran politik, keterbukaan rundingan dan kesediaan elit untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti. – politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share