Muhyiddin Lebih Kejar Kerusi PM, BERSATU Berisiko Jadi ‘Semangat 46 2.0’ – Penganalisis

KUALA LUMPUR | 19 Julai 26 – Kelemahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan sekadar berpunca daripada faktor pilihan raya, sebaliknya dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan parti itu membina kekuatan organisasi akibat terlalu menumpukan agenda politik peribadi untuk kembali menduduki jawatan Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Cendekiawan Negara, Prof. Madya Ir. Dr. Khairudin Md. Isa berkata, prestasi buruk BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan gambaran jelas bahawa parti itu semakin kehilangan pengaruh di bawah kepimpinan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Muhyiddin dilihat lebih memberi keutamaan kepada usaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri berbanding memperkukuhkan struktur parti, memperluas sokongan rakyat serta membina kepimpinan baharu di peringkat akar umbi.

“Kalau ikut keputusan, ia seperti sudah diramal. Saya selalu sebut bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang pemimpin yang lemah kerana beliau hanya fokus kepada dirinya untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan kepada politiko, hari ini.

Khairudin berkata, walaupun Johor merupakan negeri asal Muhyiddin, BERSATU gagal muncul sebagai kuasa politik dominan apabila tidak mampu membina jentera dan kepimpinan negeri yang benar-benar berpengaruh.

Katanya, situasi itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) khususnya kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berjaya mencipta imej sebagai pemimpin negeri yang dekat dengan rakyat.

“Bersatu Johor gagal menawarkan alternatif yang meyakinkan kepada rakyat. Kekuatan parti tidak berkembang walaupun dipimpin oleh tokoh yang pernah menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa kemerosotan berterusan BERSATU boleh membawa parti itu ke arah nasib sama seperti Parti Melayu Semangat 46 yang pernah menjadi pencabar utama UMNO sebelum akhirnya lenyap daripada pentas politik nasional.

“Saya berpendapat Bersatu akan kalah teruk di Negeri Sembilan. Jika itu berlaku, Bersatu akan menjadi Semangat 46 versi 2.0,” katanya.

Menurut Khairudin, keputusan PRN Johor dan prestasi BERSATU di Sabah sebelum ini menunjukkan parti itu sedang berdepan krisis sokongan yang serius, selain dibelenggu masalah dalaman serta penghijrahan pemimpin.

Pada PRN Johor, BERSATU mencatatkan prestasi paling buruk sejak penubuhannya apabila gagal mempertahankan banyak kerusi yang pernah dimenangi, termasuk mengalami kekalahan di negeri kelahiran Muhyiddin sendiri.

Keadaan itu turut disusuli beberapa calon BERSATU yang kehilangan wang deposit, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap kemampuan parti tersebut untuk menghadapi cabaran politik akan datang termasuk PRN Negeri Sembilan dan PRU16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Bersatu Hilang Arah, Dakwa Chegubard

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa, dengan adanya PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) Bersatu seharusnya boleh bergerak lebih pantas sekiranya fokus kepada perkara yang betul.
Read More
Total
0
Share