
KUALA LUMPUR, 29 DIS 25 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, menegaskan bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mesti bertanggungjawab atas krisis politik yang berlaku di Perlis, berikutan kelemahan kepimpinan dalam mengurus gabungan itu.
Dalam kenyataannya di Facebook, Wan Saiful berkata, kegagalan Muhyiddin memanggil mesyuarat PN untuk menentukan calon Menteri Besar PN di Perlis telah menimbulkan kekeliruan, di mana BERSATU dan PAS menghantar surat berasingan kepada Istana Perlis tanpa sebarang koordinasi rasmi.
“Sebagai Pengerusi PN, Muhyiddin sepatutnya segera memanggil mesyuarat sebaik sahaja gelora dikesan. Kegagalan ini memberi impak negatif besar kepada PN, sehingga ada cadangan agar PAS meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Wan Saiful menambah bahawa kelemahan kepimpinan Muhyiddin telah disedari sejak Disember 2024, apabila PAS menghantar cadangan pembaikan terhadap PN, namun tiada tindakan diambil.
Beliau menekankan bahawa cadangan PAS meninggalkan PN tidak wajar, dan langkah lebih baik adalah membolehkan PAS mengambil alih jawatan Pengerusi PN bagi melaksanakan pembaikan yang dicadangkan. “Parti komponen lain, termasuk Gerakan, perlu menerima PAS sebagai Pengerusi PN dengan hati terbuka. Kebimbangan parti bukan Melayu boleh diuruskan jika disusun dengan baik,” katanya.
Wan Saiful juga menyeru supaya pendekatan tersebut dapat menghidupkan semula MN, mewujudkan penyatuan yang lebih menyeluruh antara semua pihak, termasuk badan bukan politik.
Beliau menegaskan bahawa jika pertukaran jawatan dilakukan lebih awal, krisis di Perlis mungkin dapat dielakkan, kerana budaya musyawarah PAS dianggap jauh lebih baik berbanding budaya keputusan unilateral yang diamalkan Muhyiddin.
“PAS bukan parti budak-budak; mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” tambahnya.
Pergolakan politik di Perlis baru-baru ini mencetuskan perdebatan dikalangan ahli dan pemerhati politik mengenai masa depan dan hubungan antara PAS dan BERSATU yang menyaksikan jawatan Menteri Besar beralih kepada BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.