Muhyiddin Perlu Ambil Jawatan Ketua Pembangkang Dari Hamzah – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 7 OKT 25 – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar keluar dari zon selesa dan mengambil jawatan ketua pembangkang dari timbalannya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kata Sinar Harian.

Memetik penganalisis politik Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, akhbar itu melaporkan ia perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan parti itu serta memperkukuh blok Perikatan Nasional (PN) memandangkan Bersatu kini berdepan kemelut kepimpinan dalaman dan kehilangan arah selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025.

Katanya, Muhyiddin yang juga arkitek sebenar penubuhan Bersatu perlu tampil mengemudi semula parti yang dibinanya sendiri, selepas beberapa tahun memilih untuk berperanan memberi pandangan dari belakang.

“Inilah masanya untuk Muhyiddin keluar dari zon selesa dan mengambil alih jawatan ketua pembangkang daripada timbalannya, Hamzah.

“Langkah ini sepatutnya dibuat sejak lama demi masa depan parti,” katanya.

Keadaan katanya kini lebih membimbangkan apabila tiada sesiapa dalam parti berani mempersoalkan ketiadaan Muhyiddin di barisan hadapan, khususnya di Parlimen.

Manakala Hamzah dilihat tidak mempunyai kekuatan politik.

“Hamzah memang berpengalaman, tetapi beliau tidak mempunyai graviti politik yang diperlukan untuk menyatukan parti atau menarik keyakinan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kemampuan Hamzah semakin diragui apabila suaranya mudah ditenggelamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

“Berhadapan dengan Anwar memerlukan karisma, pengalaman eksekutif dan kredibiliti tinggi. Ini bukan soal kemampuan peribadi semata-mata, tetapi liga politik yang berbeza,” katanya.

Manakala Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang suatu ketika dahulu dianggap kingmaker kini semakin tidak relevan, katanya.

Kegagalan Muhyiddin mengambil jawatan itu katanya bakal memperlihatkan Bersatu dan PN tidak serius untuk menjadi kerajaan. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share