
KUALA LUMPUR, 21 Jun 25 – Fatwa berkaitan ajaran pluralisme dan liberalisme masih terpakai kepada individu beragama Islam, kata peguam kanan Haniff Khatri Abdulla.
Jelasnya, walaupun Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan ianya tidak terpakai kepada syarikat atau mana-mana pertubuhan, individu yang beragama Islam di dalam syarikat atau pertubuhan tersebut masih tertakluk di bawah fatwa tersebut.
“Mahkamah setuju fatwa ajaran pluralism dan liberalisme adalah tidak sah dan sesat dari segi hukum syarak dipersetujui tak terpakai kepada syarikat SIS Forum kerana Majlis Fatwa boleh keluarkan pendapat hukum syarak kepada kemanusiaan tidak boleh kepada syarikat, pertubuhan atau persatuan. Dari sudut itu sahaja SIS Forum berjaya batalkan pemakaian fatwa terhadap SIS Forum.
“Tetapi pada masa sama Mahkamah Persekutuan mendapati fatwa itu iaitu berhubung fahaman ajaran pluralisme dan liberalisme tidak sah dan sesat di bawah hukum syarak adalah fatwa sah terhadap individu muslim,” kata Haniff kepada politiko.my.
Haniff menjelaskan, ahli, pegawai, atau pekerja SIS Forum yang beragama Islam tetap tidak boleh terlibat dalam idea pluralisme dan liberalisme yang difatwakan sesat dan haram.
“Itu bidang kuasa agama tentukan tindakan lanjut terhadap individu.
“Terhadap syarikat SIS Forum tak boleh tidak bermaksud tidak boleh langsung terhadap semua mereka yang beragama Islam dalam SIS Forum,” kata Haniff
Fatwa itu juga katanya masih sah dan terpakai.
Baru-baru ini, panel lima hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan menerima rayuan SIS yang memohon agar ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menganggap pertubuhan berkenaan sebagai sesat dan menyeleweng.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang membacakan ringkasan penghakiman berkata fatwa pihak berkuasa agama hanya terpakai kepada individu dan bukannya badan atau “orang buatan” atau “tiruan”.@politiko.my