MYEG Gantung Perkhidmatan, Tapi Data Rakyat Bagaimana? MCA Persoal Jaminan Keselamatan

KUALA LUMPUR | 7 Okt 26 — Penggantungan perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai tunggakan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta, malah kini turut mencetuskan persoalan mengenai keselamatan data peribadi rakyat yang pernah diproses melalui sistem kedua-dua syarikat berkenaan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional, Neow Choo Seong mempersoalkan apakah jaminan kerajaan bahawa data pengguna JPJ yang berada dalam sistem syarikat terbabit terus dilindungi selepas perkhidmatan mereka digantung.

Menurut Neow, perkara itu perlu diberi perhatian kerana data yang diproses melalui perkhidmatan berkaitan JPJ merangkumi maklumat peribadi dan kenderaan pengguna, selain maklumat transaksi serta rekod pembayaran.

Beliau berkata persoalan lebih besar timbul apabila isu tunggakan RM314 juta itu turut melibatkan cek bernilai RM231 juta yang menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tidak diproses pihak bank atas arahan syarikat.

“Apabila sebuah syarikat dilihat sanggup menyekat cek RM231 juta milik kerajaan atas arahan sendiri masih dibenarkan memegang data sensitif ini, persoalan besar timbul: Apakah jaminan data ini selamat?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Neow berkata antara risiko yang perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan maklumat seperti nama, nombor MyKad, alamat, nombor telefon, alamat e-mel serta butiran pemilikan kenderaan sekiranya data berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, gabungan maklumat peribadi dan butiran kenderaan juga boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan identiti serta pelbagai bentuk penipuan.

“Apabila alamat dan nombor telefon ada di tangan pihak yang salah, data ini dikhuatiri dijual kepada sindiket penipuan, ceti haram atau along dan syarikat pemasaran haram. Rakyat akan terus menjadi mangsa panggilan scam, pinjaman tidak wujud dan ugutan,” katanya.

Neow turut membangkitkan persoalan mengenai risiko kecurian identiti sekiranya maklumat seperti nama, MyKad dan alamat disalahgunakan bagi membuka akaun atau melakukan aktiviti jenayah menggunakan identiti orang lain.

Beliau pada masa sama mempersoalkan implikasi keselamatan negara sekiranya pangkalan data berkaitan pemilikan kenderaan dan maklumat kediaman rakyat disalahgunakan atau diakses pihak yang tidak sepatutnya.

Menurut Neow, perhatian kerajaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha mendapatkan semula RM314 juta kutipan hasil kerajaan, sebaliknya status dan kawalan terhadap data pengguna juga perlu dijelaskan secara terbuka.

Beliau berkata Anthony Loke sebelum ini memaklumkan kerajaan telah mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan empat sesi libat urus dalam usaha mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan.

“Anthony Loke hanya menyentuh tentang 35 notis peringatan dan empat sesi libat urus sebagai usahanya untuk mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, tetapi satu patah pun tidak bercerita tentang nasib data peribadi rakyat yang masih berada di dalam server syarikat swasta tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Neow mendesak kerajaan memberikan penjelasan mengenai status data pengguna JPJ yang berada dalam sistem syarikat terbabit, termasuk aspek kawalan, penyimpanan dan perlindungan data selepas penggantungan perkhidmatan.

Beliau turut mendesak supaya satu Suruhanjaya Siasatan Bebas ditubuhkan bagi meneliti keseluruhan isu berkenaan.

Dalam pada itu, Neow menggesa Anthony Loke meletakkan jawatan dengan mendakwa isu tunggakan RM314 juta itu menunjukkan kegagalan beliau memikul amanah sebagai Menteri Pengangkutan.

“Tidak perlu menunggu kepulangan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani tahanan penjara di rumah, skandal MYEG ini sahaja sudah cukup membuktikan bahawa Anthony Loke telah gagal memikul amanah sebagai menteri dan wajar meletakkan jawatan serta-merta,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share