
KUALA LUMPUR, 1 Jun 25 – Kementerian Kewangan (MoF) menafikan dakwaan Parti Putra kononnya UiTM tidak lagi mengamalkan dasar perolehan tender untuk syarikat bumiputera.
Kementerian sebaliknya menjelaskan UiTM masih mengguna pakai peraturan dan amalan tersebut.
“Kementerian Kewangan ingin menafikan dakwaan Putra di laman media sosialnya, pindaan MoF yang dibuat baru-baru ini berkuatkuasa tahun 2025 adalah berkaitan penetapan ketua kewangan bagi syarikat adalah perlu bertaraf bumiputera sebagai langkah mengukuhkan lagi profesionalisme bumiputera. Pindaan ini terpakai ke atas perolehan oleh UiTM.
“Sebaliknya, pindaan tahun 2025 kepada pelaksanaan peraturan perolehan kerajaan mengikut Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian TransPasifik (CPTPP) adalah tidak terpakai kepada UiTM yang merupakan badan berkanun yang tidak termasuk dalam ruang lingkup perjanjian tersebut,” kata MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, MOF menjelaskan bahawa UiTM adalah entiti kerajaan yang boleh meneruskan sepenuhnya dasar keutamaan bumiputera dalam perolehan kerajaan seperti yang digariskan oleh MoF dan tidak sesekali meminggirkan agenda pemerkasaan bumiputera dalam pelaksanaan perolehan dan projek.
MoF juga akan memastikan setiap pelaksanaan perolehan menyokong dasar keutamaan kepada bumiputera oleh semua agensi kerajaan meningkatkan lagi keupayaan syarikat bumiputera dalam persekitaran ekonomi yang kondusif. @politiko.my