
KUALA LUMPUR 14 Jun 25 – Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) membantah penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 1991 (UPOV 1991) dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas, khususnya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA).
Ketua Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad berkata, syarat tersebut terkandung dalam teks rundingan MEEPA, khususnya Artikel 3.3 dalam Lampiran XIX mengenai harta intelek, yang merupakan peruntukan ‘TRIPS+’.
“UPOV 1991 ialah sebuah sistem perlindungan harta intelek yang amat ketat dan direka untuk kepentingan syarikat pembiak baka komersial dan pertanian berskala industri di negaranegara maju.
“Jika diterima, ia akan memberi kesan buruk kepada jutaan petani kecil di Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan
Jelasnya, ia juga bakal menghakis hak petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih hasil tanaman mereka sendiri.
Nurfitri Amir berkata, kira-kira 33.5% petani padi di Kedah dan Perak serta sebahagian besar di Sabah dan Sarawak, masih bergantung kepada amalan tradisional dalam pengurusan benih untuk menjimatkan kos dan menjamin kelangsungan hasil.
“Jika UPOV 1991 diterima, hak ini akan terhapus. Ia juga akan mewujudkan monopoli pasaran benih oleh syarikat multinasional sehingga 20 ke 25 tahun,” tegasnya.
Ia juga akan menyebabkan kenaikan harga benih dan pengurangan kepelbagaian varieti tanaman tempatan, jelasnya.
Tambahnya, sistem pertanian negara tidak sesuai dengan model UPOV yang bersifat tidak fleksibel dan tidak mengambil kira realiti petani kecil, seperti yang diperakui dalam beberapa kajian antarabangsa termasuk oleh kerajaan Jerman.
Malaysia juga tidak mempunyai keperluan untuk tunduk kepada UPOV 1991 kerana kita telah mempunyai sistem perlindungan varieti tumbuhan tersendiri yang seimbang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu 2004 (Akta PNVP 2004).
“Akta ini bukan sahaja melindungi hak pembiak baka tetapi turut mengiktiraf hak petani tempatan untuk menggunakan, menyimpan dan berkongsi benih.
“Malah, sebanyak 63.31% permohonan perlindungan varieti datang daripada entiti asing termasuk institusi penyelidikan luar negara. Ini menunjukkan keyakinan terhadap sistem Malaysia,” ujarnya. @politiko.my