NGO Desak Kerajaan Kaji Semula Operasi Lynas, Sekat Eksport REE Ke Pentagon

KUALA LUMPUR | 19 Julai 26 – Gabungan Nasionalis menggesa kerajaan menyekat eksport nadir bumi (rare earth elements, REE) yang diproses oleh Lynas Rare Earths Ltd. kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon), sambil mendakwa langkah itu selaras dengan pendirian Malaysia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya, berkata gabungan itu memandang serius laporan mengenai kontrak bernilai AS$96 juta (kira-kira RM450 juta) selama empat tahun antara Lynas dan Pentagon bagi pembekalkan oksida nadir bumi yang diproses di fasiliti syarikat itu di Gebeng, Kuantan.

Menurut beliau, sekiranya siasatan membuktikan terdapat rantaian bekalan nadir bumi dari Malaysia yang digunakan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan Amerika Syarikat sehingga menyokong operasi ketenteraan yang berkaitan dengan konflik di Gaza, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk mempertimbangkan pembatalan lesen operasi Lynas.

“Malaysia tidak boleh mengutuk jenayah perang di peringkat antarabangsa, tetapi pada masa yang sama membenarkan kemudahan di negara ini menyumbang kepada rantaian bekalan industri pertahanan kuasa besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gabungan Nasionalis turut menggesa kerajaan mewujudkan mekanisme kawalan eksport yang lebih ketat terhadap mineral strategik bagi memastikan sumber negara tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan imej Malaysia sebagai negara yang memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat.

Selain itu, kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai memorandum persefahaman (MoU) untuk membekalkan nadir bumi karbonat kepada Lynas turut diminta menyemak semula perjanjian berkenaan sekiranya terbukti bahan tersebut akhirnya digunakan dalam rantaian bekalan industri ketenteraan.

Dalam kenyataan sama, Gabungan Nasionalis turut menggesa kerajaan mempercepatkan pembangunan industri nadir bumi tempatan tanpa bergantung kepada mana-mana kuasa besar.

Mereka mencadangkan kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah mempercepatkan pembangunan perlombongan nadir bumi jenis ion adsorption clay (IAC), yang menurut gabungan itu mempunyai potensi ekonomi tinggi.

Gabungan berkenaan juga mencadangkan pembinaan dua kilang pemprosesan nadir bumi milik Malaysia, masing-masing di Pantai Barat dan Pantai Timur, bagi menghasilkan oksida nadir bumi untuk kegunaan industri tempatan.

Menurut Aminuddin, negara juga mempunyai kepakaran teknikal yang mencukupi melalui institusi pengajian tinggi tempatan bagi membangunkan industri hiliran bernilai tinggi, termasuk pembuatan supermagnet, tanpa bergantung kepada syarikat asing.

The Edge Malaysia semalam memetik bahawa Lynas, yang mempunyai loji pemprosesan di Gebeng, telah bersetuju membekalkan rare earth oxides kepada Pentagon di bawah perjanjian bernilai AS$96 juta.

Pada april lalu, The Wall Street Journal dalam laporan bertajuk “The Pentagon Needed Rare Earths—and Found a Supplier in Malaysia”, WSJ melaporkan bahawa pengeluaran unsur nadir bumi berat oleh Lynas di Malaysia menjadi sebahagian daripada usaha Pentagon mengurangkan pergantungan kepada China. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share