
KUALA LUMPUR, 4 DIS 25 — Gabungan Nasionalis menggesa kerajaan segera meminda undang-undang susulan pendedahan serbuan terhadap sebuah premis yang melibatkan 202 individu dalam aktiviti seks luar tabii.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya, berkata laporan mengatakan 103 individu berkenaan adalah Melayu Islam serta beberapa penjawat awam menunjukkan masalah moral yang semakin parah dalam masyarakat.
“Ini bermakna lebih 50% yang terlibat adalah orang Islam. Ini suatu keadaan yang sangat membimbangkan dan menggambarkan kerosakan moral yang semakin parah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kelemahan undang-undang sedia ada apabila pihak berkuasa memaklumkan bahawa mereka yang ditahan tidak boleh didakwa di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
“Ini menggambarkan bagaimana undang-undang sedia ada mempunyai kelompongan sehingga tidak boleh mensabitkan kesalahan yang begitu besar dan serius ini,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu memberi imej buruk kepada negara sebagai sebuah negara Islam.
“Adakah masa depan negara ini sedang digerakkan ke arah budaya songsang di mana hubungan seks sejenis diterima sebagai satu norma sosial?” soalnya.
Justeru, Gabungan Nasionalis mendesak kerajaan mengambil tindakan segera.
“Kerajaan perlu memulakan proses pindaan undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan jika perlu, supaya ruang kelemahan ini tidak lagi membolehkan maksiat dan jenayah tidak bermoral berleluasa,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.