
KUALA LUMPUR, 27 Apr 25 – Bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusuf (gambar-sebalah kanan) menyarankan kerajaan agar peka dan sensitif dengan perkembangan yang berlaku, kesan daripada Tarif Timbal balik yang akan dilaksanakan oleh pentadbiran Donald Trump.
Beliau ketika bercakap dengan politiko.my berkata, kerajaan perlu kreatif untuk mencari pasaran baharu akibat tariff AS tersebut.
“Pada pendapat saya, kesan tarif US yang tidak rasional ini, kerajaan kita perlu peka dan sensitif dengan perkembangan yang berlaku dan mesti segera mengambil langkah-langkah yang sesuai, seperti kemungkinan berlaku lambakan (dumping) ke negara kita.
“Kita juga perlu kreatif untuk cari pasaran baru yang berkembang akibat jangkaan permintaan yang makin kurang kesan tarif yang dikenakan. Katanya.
Beliau turut mengingatkan agar kerajaan tidak terlalu bergantung dengan pelaburan dari China yang menggunakan buruh serta bahan import yang juga dari China.
“Sebaiknya kerajaan perkenal program rangsangan ekonomi dalam bajet 2026, atau lebih segera, supaya ekonomi dalam negara masih boleh berkembang dan minimakan impak negatif kesan tarif ini.
“Dalam hubungan ini, kerajaan perlu kurangkan pelaburan asing, terutama dari China, yang menggunakan buruh dan bahan import dari China. Ujarnya.
Mengulas perkara yang sama, Ahmad Zaki juga mengingatkan kerajaan agar lebih berjimat cermat kerana pertumbuhan ekonomi dunia dan Malaysia juga, dijangka akan lebih rendah, oleh itu hasil kerajaan juga akan lebih rendah.
“Elakkan membuat pinjaman baru kerana beban hutang negara sedia ada sudah sangat tinggi. Tambahnya.
Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan satu sidang khas Dewan Rakyat untuk membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas Malaysia. Sidang akan berlangsung pada 5 Mei dimana Perdana Menteri dijadualkan akan memulakan sesi pada jam 11 pagi diikuti sesi perbahasan. @politiko.my