
KUALA LUMPUR, 17 DIS 25 — Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) daripada DAP menimbulkan kebimbangan serius pelbagai pihak yang mendakwa langkah itu membuka laluan kepada pelaksanaan agenda “Malaysian Malaysia” di ibu negara.
Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa, berkata penguasaan DAP ke atas portfolio strategik berkaitan bandar, perumahan dan pembangunan memberi kuasa langsung kepada parti itu untuk mencorakkan dasar, polisi serta hala tuju Kuala Lumpur.
“Kuala Lumpur bukan sekadar bandar raya. Ia simbol negara, pusat ekonomi dan wajah Malaysia di mata dunia.
“Apabila Wilayah Persekutuan, KPKT dan kementerian berkait pembangunan bandar dikuasai parti yang sama, kuasa sebenar ke atas ibu negara kini berada di tangan DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwanya, ia selari dengan agenda politik DAP yang berteraskan konsep “Malaysian Malaysia”, yang dibimbangi akan mempengaruhi dasar perumahan, perniagaan, pembangunan bandar dan susunan demografi penduduk Kuala Lumpur.
“Dasar pembangunan, pemilikan hartanah, kuota perumahan, perniagaan dan struktur ekonomi bandar berpotensi dibentuk berasaskan fahaman ini atas nama kemajuan dan kesejahteraan,” katanya.
Mohd Zai berkata perancangan pembangunan semula bandar melalui Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilihat sebagai instrumen utama bagi merealisasikan agenda tersebut, terutama apabila melibatkan kawasan bernilai tinggi di ibu negara.
Dakwanya, sebanyak 139 kawasan seluas kira-kira 3,206 ekar di Kuala Lumpur dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan semula dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan melebihi RM355 bilion.
“Dengan nilai ekonomi sebesar ini, kawalan ke atas Wilayah Persekutuan bukan isu kecil.
“Ia menentukan siapa mengawal pembangunan, siapa mendapat manfaat dan siapa berisiko terpinggir,” katanya.
Beliau turut mendakwa penguasaan politik ke atas Kuala Lumpur memberi kelebihan strategik kepada DAP untuk mempengaruhi rangkaian pelabur, pemaju dan pemegang kepentingan ekonomi berskala besar.
“Ini bukan lagi soal jawatan menteri semata-mata, tetapi soal kuasa ke atas pusat ekonomi dan pentadbiran negara,” katanya.
Mohd Zai menegaskan rakyat wajar menilai secara kritikal hala tuju Kabinet Madani dan kesannya terhadap masa depan Kuala Lumpur serta identiti negara secara keseluruhan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.