Oleh : Za’aba Ibrahim

Pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat penggal ketiga telah menimbulkan pelbagai reaksi, namun yang paling mencuri tumpuan ialah kenyataan terbuka daripada Nurul Izzah Anwar.
Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai “tidak dialu-alukan” dan menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan sedemikian akan mengekang reformasi institusi yang dijanjikan.
Namun, kenyataan itu segera dibalas dengan kritikan hebat daripada pelbagai pihak, yang menyifatkan tindakan Nurul Izzah sebagai tidak konsisten, malah hipokrit.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menuduhnya sebagai simbol “reformasi separuh jalan”, sementara pemimpin UMNO seperti Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan motif politik di sebalik kritikan tersebut.
“Anda tidak boleh memegang sepanduk reformasi dengan tangan kanan, tetapi menandatangani kelulusan Azam Baki dengan tangan kiri,” kata MUDA dalam satu kenyataan pedas.
Kenyataan itu menuding kepada hakikat bahawa walaupun Nurul Izzah menjarakkan dirinya daripada keputusan kerajaan, beliau masih merupakan sebahagian daripada pentadbiran yang sama – bukan sahaja sebagai anak kepada Perdana Menteri, tetapi juga sebagai figura penting dalam struktur politik gabungan kerajaan.
Puad pula menegaskan bahawa kenyataan Nurul Izzah kelihatan berbau politik, muncul ketika beliau sedang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Kalau benar tidak setuju, mengapa tidak protes lebih awal? Ini bukan soal prinsip tetapi mahu menonjolkan ketegasan menjelang pemilihan,” sindirnya.
Di media sosial, ramai netizen mempersoalkan keberanian Nurul Izzah. Sesetengahnya melihat tindakan itu sebagai “kritik selamat” – iaitu satu percubaan untuk menunjukkan pendirian tanpa benar-benar mengubah status quo.
Ini mengundang persoalan lebih besar: adakah reformasi itu benar-benar sedang diperjuangkan, atau sekadar menjadi alat retorik dalam strategi politik?
Dilema yang dihadapi oleh Nurul Izzah adalah nyata. Sebagai anak Perdana Menteri, sebarang kenyataan beliau akan sentiasa dilihat dalam konteks hubungan kekeluargaan dan kedudukan dalam kerajaan.
Sebagai seorang reformis, beliau dituntut untuk bersikap lantang, jelas dan konsisten. Kegagalan untuk mengimbangi kedua-dua peranan ini akan membuka ruang kepada persepsi hipokrasi – sama ada adil atau tidak.
Namun, lebih penting daripada persepsi peribadi adalah persoalan institusi: bagaimana SPRM dan institusi penting negara lain dapat dikembalikan maruah dan keyakinannya?
Dan apakah kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim benar-benar bersedia untuk melepaskan kelaziman politik lama demi pembaharuan menyeluruh?
Kritikan Nurul Izzah ini hanya menampakkan belang hipokrasi beliau yang diwarisi dari bapanya yang menjanjikan pelbagai perubahan, namun semua retorik; paling nyata – isu Rasuah dan Nepotisme.
Za’aba Ibrahim – pengkritik politik