
KUALA LUMPUR | 31 Jan 26 — Tulisan panjang Dr Marzuki Mohamed yang mendakwa kepimpinan PAS menekan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibalas keras oleh pemimpin PAS, yang menuduh bekas setiausaha politik itu memutar maksud sebenar kenyataan PAS, mengaburkan punca krisis Perikatan Nasional (PN) dan melindungi kegagalan kepimpinan Muhyiddin sendiri.
Dalam satu pandangan balas, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff menegaskan bahawa dakwaan Dr Marzuki kononnya pimpinan PAS tanpa selindung menyatakan “your time is finished” terhadap Muhyiddin adalah salah tafsir yang disengajakan.
Menurut beliau, kenyataan tersebut merujuk secara khusus kepada jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang telah dilepaskan, bukan serangan peribadi terhadap Muhyiddin sebagai individu.
“Selepas meletak jawatan, wajarlah masa sebagai Pengerusi telah berakhir. Tetapi jika selepas berundur masih cuba menguasai organisasi, menentukan pengganti dan ada usaha mengembalikan jawatan, itulah maksud sebenar ‘your time is finished’,” katanya.
Beliau turut membidas tulisan Dr Marzuki berhubung krisis Perlis, dengan mendakwa bekas setiauasa sulit Muhyiddin itu sama ada tidak faham, atau berpura-pura tidak faham isu sebenar yang berlaku.
Menurutnya, PAS mengakui wujud perselisihan dalaman, namun punca kemelut tercetus apabila BERSATU Perlis mengambil kesempatan mengemukakan nama Menteri Besar walaupun PAS memiliki kerusi terbanyak.
Lebih keras, beliau mendakwa tindakan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN ketika itu langsung tidak menunjukkan kepimpinan, termasuk kegagalan mengawal pengerusi parti negeri.
“Di situ jelas betapa lemahnya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin apabila gagal mengawal Pengerusi BERSATU negeri. Kerana itulah penyokong PN mendesak beliau berundur,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa PAS mahu melantik orangnya sebagai Pengerusi PN, beliau menyifatkannya sebagai isu lama yang telah lama dipersetujui, termasuk oleh Muhyiddin sendiri. Namun, katanya, masalah timbul apabila pengunduran itu didakwa tidak dilaksanakan secara ikhlas.
“Setuju berundur, tetapi masih mahu mengawal organisasi. Ibarat pemandu setuju berhenti kerja, tetapi bawa lari stereng kereta,” katanya, merujuk kepada apa yang disifatkan sebagai percanggahan sikap kepimpinan lama.
Beliau turut mencabar Dr Marzuki supaya bersikap jujur dengan pendirian sebenar dan tidak menyalahkan PAS atas krisis yang berlaku.
“Jika mahu Tan Sri Muhyiddin terus menjadi Pengerusi, bakal Perdana Menteri dan mengetuai BERSATU, tulislah secara terang. Tidak perlu berselindung,” katanya.
Pandangan balas itu menggariskan dua pilihan hala tuju PN ke depan — sama ada meneruskan pergelutan dalaman demi kepentingan individu, atau membuat keputusan tegas demi masa depan gabungan dan rakyat.
Dalam tulisan yang sama, Marzuki mencadangkan pengunduran Muhyiddin kerana beliau mendakwa “Tiada guna memimpin sekelompok manusia yang tidak tahu menilai kepimpinan anda. Malah mereka menganggap anda adalah liabiliti terbesar mereka,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.