PAS Bukan Sekadar Mahu Menang, Tapi Mahu Bina Negara Asas Islam – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR | 19 Jun 26 — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan perjuangan parti itu bukan sekadar berkisar kepada kemenangan pilihan raya, sebaliknya membawa agenda membina pemerintahan berasaskan Islam.

Dalam kenyataan sempena memperingati konsep hijrah, Abdul Hadi berkata Islam perlu dilihat sebagai satu sistem yang merangkumi urusan agama dan pentadbiran negara.

“Islam sebagai al-din yang sempurna mewajibkan Islam berkuasa memerintah negara yang berdaulat bagi melaksanakan perintah Allah,” katanya dalam kenyataan di facebook, hari ini.

Beliau berkata, Islam tidak boleh dipisahkan antara urusan dunia dan akhirat kerana ia merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.

Menurut Abdul Hadi, hijrah bukan hanya perubahan individu, tetapi satu usaha melaksanakan sebuah negara yang mempunyai ciri-ciri tertentu.

“Hijrah dilakukan bagi melaksanakan sebuah negara yang bercirikan rabbani, berkebajikan, kehebatan undang-undang dan berwawasan dunia hingga akhirat,” katanya.

Beliau turut menyentuh sejarah pemerintahan Islam dengan mengambil contoh Madinah sebagai model masyarakat yang dibina atas asas perpaduan dan kepimpinan Islam.

Kenyataan itu memperlihatkan PAS terus mengekalkan identitinya sebagai parti yang membawa agenda politik berteraskan Islam, bukan sekadar sebuah parti pilihan raya.

Ramai berpendapat, penegasan tersebut menunjukkan PAS mahu terus meletakkan dirinya sebagai peneraju politik Melayu-Islam dengan membawa naratif perjuangan yang lebih besar daripada persaingan kuasa semata-mata. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share