
KUALA LUMPUR | 30 Ogos 26 – Hak keistimewaan orang Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang ditakuti oleh kaum lain, namun pada masa sama tidak boleh disalahgunakan oleh orang Melayu sendiri, kata peguam dan penganalisis undang-undang, Tuan Haniff Khatri.
Menurut beliau, kedudukan istimewa orang Melayu perlu difahami dalam konteks pembentukan identiti dan kewatanan Malaysia, bukannya dilihat semata-mata sebagai kelebihan kepada satu kaum.
“Perkara 153, hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi negara. Semua ada hak sebagai rakyat Malaysia, tapi ada hak keistimewaan diberikan dalam keadaan-keadaan tertentu kepada orang Melayu.
“Yang tidak perlu dikhuatiri oleh orang bukan Melayu. Dan juga tidak perlu dan tidak boleh disalahgunakan oleh orang Melayu sendiri yang mempunyai kuasa atau yang mempunyai wang,” katanya.
Haniff berkata kefahaman terhadap kedudukan Melayu dalam kerangka negara juga penting bagi mengelakkan wujudnya salah faham bahawa keutamaan tertentu kepada orang Melayu bermaksud kaum lain ditindas.
Beliau berpandangan konsep Melayu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kewatanan Malaysia, bukan sekadar identiti sesuatu kaum.
“Konsep Melayu ini adalah sebahagian daripada kewatanan Malaysia. Inti pati negara Malaysia adalah konsep Melayu,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Politikopi menerusi episod “Politik ‘Melayu-Phobia’: Apa dan Kenapa?”
Menurut Haniff, unsur yang membentuk identiti negara termasuk agama, bahasa dan budaya perlu difahami sebagai sebahagian daripada asas kewatanan Malaysia.
Beliau berkata Islam sebagai agama bagi Persekutuan merupakan antara inti pati tersebut, dengan agama-agama lain pula dibenarkan diamalkan secara aman dan harmoni.
“Perkara tiga, Perlembagaan, agama. Islam adalah agama Persekutuan. Dan agama lain dibenarkan diamalkan secara harmoni. Itu satu inti pati negara, kewatanan negara,” katanya.
Dalam masa sama, Haniff berkata rakyat Malaysia perlu memahami asas Perlembagaan supaya persoalan mengenai kedudukan Melayu tidak terus dilihat melalui kerangka perkauman semata-mata.
Katanya, apabila rakyat benar-benar memahami dan menerima asas tersebut sebagai sebahagian daripada kewatanan Malaysia, persoalan mengapa Melayu diberikan keutamaan atau mengapa kaum lain kononnya ditindas tidak lagi sepatutnya menjadi polemik.
“Kalau itu berlaku di puncaknya, maka tak wujud pendapat atau salah faham atau keperluan nak fikir, kenapa Melayu diutamakan? Kenapa kaum lain kononnya ditindas? Sebab kita dah serapkan benda ini,” katanya.
Haniff turut mengingatkan bahawa pengiktirafan terhadap kedudukan Melayu tidak bermaksud hak rakyat daripada kaum lain dinafikan.
Sebaliknya, katanya, semua rakyat mempunyai hak sebagai warganegara, manakala peruntukan tertentu memberikan perlindungan atau keistimewaan kepada orang Melayu dan anak negeri dalam keadaan yang ditetapkan Perlembagaan.
Beliau menegaskan, persoalan utama bukan sekadar sama ada hak istimewa Melayu wujud, tetapi bagaimana hak tersebut difahami dan dilaksanakan tanpa disalahgunakan.
Dalam konteks itu, peringatan Haniff kepada orang Melayu sendiri menjadi sebahagian penting hujahnya: hak yang diberikan Perlembagaan bukan lesen untuk mereka yang mempunyai kuasa atau kekayaan menggunakannya demi kepentingan diri.
Hujah tersebut sekali gus meletakkan perbincangan mengenai kedudukan Melayu dalam dua kerangka serentak — mempertahankan kedudukan yang diperuntukkan Perlembagaan, sambil menolak penyalahgunaan kedudukan tersebut oleh orang Melayu sendiri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.