
KUALA LUMPUR, 6 DIS 25 — PAS mengalu-alukan tindakan Bukit Aman mengambil alih siasatan penuh kes tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka, termasuk penubuhan pasukan khas untuk meneliti laporan keluarga mangsa.
Parti itu menegaskan bahawa setiap insiden kehilangan nyawa melibatkan polis mesti disiasat secara telus, profesional dan tanpa pilih kasih.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, penggunaan senjata api oleh agensi penguat kuasa perlu dinilai dengan bebas dan menyeluruh untuk memastikan keadilan ditegakkan. Menurutnya, keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa bergantung pada ketelusan proses siasatan.
PAS turut memberi peringatan bahawa insiden Durian Tunggal tidak boleh dianggap kes terpencil. Parti itu merujuk beberapa kontroversi di bawah Kementerian Dalam Negeri sebelum ini, termasuk kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir di Sabah, isu rasuah di Jabatan Imigresen, serta kes pemberian kewarganegaraan secara salah oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Menurut Takiyuddin, rangkaian insiden ini menunjukkan kemungkinan wujud kelemahan sistemik dalam aspek tadbir urus, pemantauan, dan kepimpinan agensi-agensi terbabit. Justeru, pembaharuan dan tindakan pembetulan segera amat diperlukan untuk memulihkan integriti institusi.
Dalam kenyataan yang sama, parti itu turut menggesa PDRM memaklumkan perkembangan siasatan kes orang hilang, termasuk kes Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang April lalu ketika dalam perjalanan memberi keterangan kepada SPRM. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.