
KUALA LUMPUR, 23 Sep 25 – PAS secara halus dilihat berpihak kepada Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berbanding Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam konflik kepimpinan parti itu, kata laporan.
Memetik penganalisis politik Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, FMT melaporkan, kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) haruslah pemimpin berusia bawah 70 tahun, mengesahkan perkara itu.
Beliau juga percaya berkemungkinan akan berlaku pertelingkahan antara penyokong PAS dan penyokong Muhyiddin dalam Bersatu.
Ahmad Fauzi juga tidak menolak kemungkinan PAS enggan dibebani dengan kes mahkamah yang dihadapi Muhyiddin, atau isu melingkari menantu presiden Bersatu itu, Adlan Berhan, yang kini diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Isu-isu tersebut dikhuatiri mencalar imej parti Islam yang dilihat lebih berintegriti dan bersih dalam menuju PRU16 akan datang.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat, kenyataan Hadi itu seolah-olah menolak hasrat Muhyiddin untuk kembali menjadi perdana menteri, terutama dengan pengaruh dan dominasi PAS yang semakin ketara dalam PN.
Malah, ia juga gambaran keyakinan PAS mampu mengemukakan calon perdana menteri, dan bukannya untuk mengukuhkan kedudukan Hamzah. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.