
KUALA LUMPUR | 9 Jun 26 — PAS mengumumkan penamatan rasmi kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus membuka ruang kepada pembentukan pakatan dan persefahaman politik baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan media PAS Pusat yang ditandatangani Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada Isnin.
Menurut kenyataan tersebut, PAS memperakui keputusan Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu yang meneliti aspek dasar, hukum dan maslahat berhubung kerjasama politik parti berkenaan berdasarkan prinsip penyatuan ummah.
Mesyuarat itu turut meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan PAS-BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa sebelum membuat keputusan untuk menghentikan kerjasama politik antara kedua-dua parti.
“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa yang sama, PAS memaklumkan bahawa parti itu akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu atau electoral pact bagi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah dalam menghadapi siri pilihan raya akan datang.
Pemerhati politik melihat keputusan tersebut sebagai perkembangan penting yang berpotensi mengubah susunan kuasa dalam blok pembangkang, memandangkan kerjasama PAS dan BERSATU sebelum ini menjadi antara komponen utama dalam pembentukan Perikatan Nasional.
Selain itu, PAS turut menyatakan kesediaannya menerima penyertaan tokoh akademik, profesional, pemimpin politik serta aktivis masyarakat yang berminat untuk bersama parti berkenaan.
Keputusan ini dibuat berdasarkan hubungan yang tegang berpunca dari konflik politik di Perlis dan Negeri Sembilan dimana PAS mendakwa, BERSATU tidak menghormati semangat setiakawan.
Isu di Perlis menyaksikan pertukaran Menteri Besar PAS kepada BERSATU, manaka di Negeri Sembilan, 2 Adun BERSATU secara unilateral telah menarik semula SD menyokong UMNO BN yang telah dipersetujui oleh pimpinan PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.