PAS Tegaskan Tolak Jawatan EXCO, Serahkan Pemilihan Pengerusi PN Kepada Pusat

KUALA LUMPUR | 9 Jan 26 – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang tawaran jawatan dalam kerajaan negeri Perlis, walaupun ada pihak yang dilaporkan cuba menawarkan jawatan EXCO  kepada PAS.

Abdul Hadi juga menegaskan bahawa tawaran jawatan yang diterima oleh mana-mana pihak PAS dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan kerana dianggap telah menjatuhkan kerajaan Perlis sebelum ini.

“Kita dah buat keputusan, kita tak akan terima jawatan tu… di pelawa, kita anggap satu pengkhianatan. Menjatuhkan kerajaan,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai calon Pengerusi PN, Abdul Hadi menafikan sebarang cadangan dari beliau mengenai calon yang telah ditentukan untuk mewakili parti dalam percaturan politik Perikatan Nasional (PN).

“Belum, belum lagi,” katanya ketika ditanya mengenai nama calon Pengerusi PN.

Beliau turut mengesahkan bahawa tidak ada dalam perlembagaan PN untuk seseorang calon Pengerusi PN mesti dari Presiden parti.

“Tak ada, tak ada dalam perlembagaan. Saya serah pada pusat untuk pilih siapa-siapa dia… itu terserah pada pusat,” tambah beliau sambil menekankan pemilihan pimpinan PN adalah hak pusat.

Beliau turut menjawab kebimbangan mengenai peranan PAS dalam memimpin PN, dengan menekankan bahawa parti itu memerlukan sokongan pelbagai pihak, termasuk bukan Islam, untuk memastikan kestabilan politik.

“Kebimbangan tu selesai bila urusan berjalan. Cuma kita kena sedar, kita memerlukan sokongan bukan sahaja orang Islam, termasuk orang-orang Islam,” katanya.

Penegasan ini menandakan pendirian PAS untuk tidak terlibat secara langsung dalam sebarang percaturan jawatan politik, sebaliknya mengekalkan prinsip parti dan kepimpinan kolektif melalui keputusan pusat.

Mesyuarat majlis tertinggi PN dijangka bermesyuarat untuk mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan baru-baru ini dan seterusnya memilih Pengerusi PN yang baharu.

Pelbagai spekulasi mengenai nama calon yang akan dicadangkan dalam mesyuarat tersebut, antara nama yang berlegar ialah MB Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar, MB Kedah Sanusi Md Noor dan Hamzah Zainuddin, Timbalan Presiden BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share