Pasca PRK A.Kuning : PN Disaran Perbaiki Kepimpinan Dalaman Perak

KUALA LUMPUR, 27 APR 25 – Perikatan Nasional (PN) disaran memperbaiki isu kepimpinan dalaman di Perak atau sejarah tewas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, semalam, akan berulang pada PRU16, kata sumber.

Sumber dalaman Bersatu itu turut meminta campur tangan kepimpinan pusat menstruktur semula organisasi parti di Perak bagi menangani isu tersebut.

“PRK Ayer Kuning ini jadi bukti kelemahan PN di negeri Perak, maksudnya di peringkat kepimpinan negeri antara Bersatu dengan PAS, komunikasi lemah, bermesyuarat pun kurang.

Tambahnya, sepanjang berlangsung PRK Air Kuning, PN Perak tidak pernah memanggil mesyuarat dan ketua-ketua bahagian Bersatu tidak dilibatkan oleh pimpinan negeri.

“Di dalam parti Bersatu sendiri, tidak ada mesyuarat antara kepimpinan negeri, isu kepimpinan adalah isu dalaman yang perlu diperbaiki oleh pucuk pimpinan pusat supaya persediaan memasuki PRU boleh dibuat dengan lebih baik,” kata sumber, kepada politko.my.

Krisis Bersatu di Perak berlarutan selepas beberapa Adun dan ketua bahagian Bersatu negeri dilaporkan tidak berpuas hati dengan Pengerusi Badan Kepimpinan BERSATU Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan tindakannya menghantar surat kepada Speaker DUN meminta Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin menukar kerusi dengan Adun Changkat Jong Nadziruddin Bandi, yang dakwa mereka dibuat tanpa perbincangan.

“Ini mencerminkan kelemahan kepimpinan parti. Ujarnya.

Krisis itu turut memaksa Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin campur tangan sekaligus bukti jelas kredibiliti Ahmad Faizal, atau Peja yang juga bekas menteri besar Perak itu dipersoalkan.

Sumber lain mendakwa, ia bukan isu terpencil sebaliknya menjadi rahsia umum buat kepimpinan PN di Perak, namun tiada sebarang tindakan penambahbaikan dilaksanakan.

“Perkara ini dah jadi pegetahuan umum. Maksudnya ramai pimpinan pringkat bahagian dah tau masalah kepimpinan Bersatu negeri, kita pernah suarakan tapi tiada tindakan.

“Kesannya, jentera kempen jentera PRK Ayer Kuning tak berjalan lancar. Komunikasi juga tak ada,” katanya.

Malah, pimpinan akar umbi juga dakwanya tidak dilibatkan sepanjang tempoh kempen PRK Ayer Kuning, yang mencacatkan gerak kerja kempen jentera pembangkang itu.

“Jadi kita tak tahu apa strategi dan perancangan pimpinan. Benda ni berlaku dah lama, sebelum PRK Ayer Kuning lagi, tapi nampak tak ada apa-apa perubahan.

“Kita sarankan pimpinan pusat kaji balik dan rombak kepimpinan Bersatu Perak, kalau tak berubah, PN akan lemah di Perak,” tambahnya.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Bakir menang PRK DUN Ayer Kuning, Perak dengan majoriti 5,006 undi, keputusan rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

Mohamad Yusri yang juga Setiausaha Umno Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi, mengatasi calon PN Abdul Muhaimin yang memperolehi 6,059 undi, manakala calon PSM, Bawani KS mendapat 1,106 undi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share