
KUALA LUMPUR, 14 Jun 25 – Setiausaha Agung PAS, Dato Seri Takiyuddin Hassan menolak dakwaan rancangan menstruktur semula kepimpinan PN bagi memberi kuasa lebih besar kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Memetik laporan malaysiakini, beliau menegaskan PN sebagai gabungan politik yang berdaftar terikat dengan perlembagaan parti dan segala perubahan perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Memang kita tertakluk kepada perlembagaan PN, tak boleh sewenang-wenangnya nak ubah, macam PAS juga, PN tak ada masalah apa-apa pun.”
“Tapi digembar-gemburkan (rombakan kepimpinan) sebab kita punya gabungan stabil, PN Best, ada orang cuba nak keruhkan kestabilan. Kita tiada masalah apa, PAS dan Bersatu kekal.”
“Dalam perlembagaan PN kena ada seorang pengerusi, sekarang dari awal (Muhyiddin Yassin), jadi di situ tak pernah persoal apa,” katanya.
Terdahulu, satu laporan mendakwa terdapat cadangan rombakan struktur PN dengan memberi kuasa operasi besar kepada Hamzah di mana satu jawatankuasa eksekutif yang diketuai Hamzah akan diwujudkan manakala presiden empat parti komponen (PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP) akan terus kekal dalam Majlis Tertinggi PN sedia ada. @sumber