
KUALA LUMPUR | 7 Jan 26 — Seorang peguam yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kepala Batas mempersoalkan proses pemecatan Dato’ Seri Saifuddin Abdullah daripada parti itu, dengan menegaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat tanpa persidangan rasmi Lembaga Disiplin (LD).
Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, setelah meneliti fakta yang ada, adalah jelas bahawa tindakan pemecatan tersebut bercanggah dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Parti, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keabsahan keputusan.
“Fakta ini tidak boleh diselindung dengan kenyataan umum, alasan pentadbiran atau tafsiran longgar perlembagaan parti. Ini bukan isu teknikal kecil, tetapi isu keabsahan keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pendiriannya bukan bertujuan mempertahankan mana-mana individu, sebaliknya demi mempertahankan perlembagaan, proses dan integriti parti.
“Apabila proses dipintas, keputusan yang terhasil bukan lagi ketegasan, tetapi penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Khaliq turut meluahkan kekecewaan apabila kecacatan proses berkenaan cuba ditutup dengan naratif disiplin dan tanggungjawab kolektif, seolah-olah matlamat boleh menghalalkan cara.
“Ini bukan budaya parti berperlembagaan, tetapi budaya arahan tanpa semak imbang,” ujarnya.
Beliau berkata, tanpa proses yang betul, sesuatu keputusan akan menjadi rapuh, mudah dicabar dan akhirnya mencemarkan imej parti sendiri.
Mengulas implikasi lebih luas, Khaliq memberi amaran bahawa jika seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi boleh dipecat tanpa persidangan LD, perkara sama boleh berlaku kepada mana-mana ahli pada masa hadapan.
“Parti yang membenarkan keadaan ini sedang menghantar mesej bahawa perlembagaan boleh diketepikan apabila tidak selari dengan kehendak kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa disiplin tanpa perlembagaan bukan disiplin dan ketegasan tanpa proses bukan kepimpinan, sambil mengingatkan bahawa BERSATU hanya akan dihormati sekiranya mematuhi perlembagaannya sendiri.
“Tiada siapa lebih besar daripada perlembagaan, termasuk mereka yang memegang kuasa,” katanya.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah disahkan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa 6 Januari 2026, sekali gus menandakan kemuncak konflik dalaman parti itu yang semakin meruncing sejak beberapa bulan lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.