
KUALA LUMPUR, 13 Ogos 25 — Peguam P Waytha Moorthy memfailkan saman bagi mendapatkan deklarasi Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun pada November 2022 dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri.
Bekas menteri itu berhujah, pengampunan diraja yang diterima Anwar pada 2018 tidak menyatakan beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas bebas dari penjara.
Bekas menteri era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020 itu memohon Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022, dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian, batal dan tidak sah.
Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi oleh peguam cara Tetuan Karthig Shan, dengan Anwar dinamakan sebagai defendan.
Waytha yang memfailkan tindakan itu atas kapasitinya sebagai peguam berkata, beliau mengemukakan tindakan kepentingan awam ini untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, serta melindungi integriti demokrasi berparlimen Malaysia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.