Peguam Gesa AG Campur Tangan Isu Albert Tei

KUALA LUMPUR, 27 NOV 25 — Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar digesa segera campur tangan dengan menubuhkan jawatankuasa siasatan khas susulan pendedahan terbaharu ahli perniagaan Datuk Albert Tei, kata peguam kanan Haniff Khatri Abdulla.

Haniff Khatri berkata, ini kerana rakaman video yang didedahkan menunjukkan wujud dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mempunyai pengetahuan berhubung isu skandal mineral Sabah.

“Berdasarkan isu serabut yang perlu dirungkai ini peguam negara perlu bertanggungjawab menentukan cara dan gaya siasatan rakaman ini dilakukan,” kata Haniff Khatri dalam kenyataan video di media sosialnya.

Tambahnya, Dusuki boleh mencontohi penubuhan jawatankuasa seperti mana siasatan membabitkan skandal 1MDB hampir 10 tahun lalu.

Menurutnya, peguam negara ketika itu Tan Sri Gani Patail menubuhkan jawatankuasa siasatan khas membabitkan polis, SPRM, pejabat peguam negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menjalankan siasatan berkaitan skandal terbabit.

“Dakwaan dalam rakaman itu membabitkan isu peneutralan, ketidakbelah bahagian SPRM, justeru adakah SPRM kini berada dalam prinsip kedaulatan undang undang berpandukan kepada dakwaan yang wujud sedutan kedua rakaman untuk jalankan siasatan rasuah.

” Ini satu persoalan perundangan. Tiada kaitan langsung politik,” tegas Haniff Khatri.

Jelasnya, rakaman itu menunjukkan SPRM hilang kredibiliti siasat kes rasuah berkenaan.

Agensi anti rasuah itu awal hari ini meminta seorang wanita yang dikaitkan dalam sebuah klip video bersama Tei untuk hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan.

SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan, kehadiran wanita itu amat penting bagi membantu siasatan kes yang melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“SPRM kini sedang berusaha mengesan wanita berkenaan dan menetapkan tarikh hadir pada 1 Dis 2025.

“Selain itu, SPRM juga telah menghubungi Tei dan meminta beliau hadir pada tarikh yang sama,” menurut kenyataan tersebut. @politiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share