
KUALA LUMPUR | 18 Mei 26 — Pengerusi MARA, Dato Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempertahankan langkah memberi keutamaan kepada pelajar tahfiz STEM dalam program penajaan latihan juruterbang, dengan menegaskan kelompok itu terbukti antara yang terbaik dalam pencapaian akademik negara.
Beliau berkata, tanggapan bahawa pelajar tahfiz tidak mampu menguasai bidang sains dan teknologi adalah tidak tepat, malah keputusan SPM menunjukkan mereka berada pada tahap cemerlang.
“Pencapaian tertinggi dalam peperiksaan SPM sebenarnya terdiri daripada pelajar tahfiz,” katanya dalam satu komen di media sosial berhubung komen negatif di ruangan Facebook portal berita dalam talian yang memperlekeh kemampuan pelajar tahfiz untuk menceburi bidang berkenaan..
Menurut beliau, lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terdiri sepenuhnya daripada pelajar tahfiz dan menawarkan aliran sains penuh berada dalam kelompok 20 sekolah terbaik SPM 2025 di negara ini.
Katanya lagi, seramai 221 pelajar MRSM Tahfiz berjaya memperoleh keputusan semua A+, termasuk dalam subjek kritikal seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Kenyataan itu dibuat susulan perdebatan hangat terhadap laporan bahawa MARA akan menaja bakal juruterbang dengan memberi keutamaan kepada pelajar tahfiz STEM.
Asyraf menegaskan pendekatan tersebut bukan sekadar berasaskan latar agama, tetapi turut mengambil kira rekod kecemerlangan akademik dan penguasaan disiplin STEM dalam kalangan pelajar terbabit. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.