
KUALA LUMPUR, 24 Sep 25 — Pembangunan kawasan bandar tidak seharusnya berpaksikan kepada elemen material dan ekonomi semata-mata, kata Prof Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Shuhana Shamsuddin.
Sebaliknya, pembinaan bandar perlu melibatkan dan memiliki ciri-ciri sosial dan budaya yang berupaya menjadi identitinya.
“Bila kita cakap pasal budaya, dia kaum lah. Bila kata kaum, dia akan melibatkan gaya hidup, adat resam, tradisi, agama dan ini membentuk identiti bandar.
“Jadi kita tak nak bandar kita di Malaysia nanti akan datang tak ada langsung identiti atau karakter. Dia akan sama sahaja,” katanya, dalam forum Better Nation (BN) Forum Siri Ke-8 dengan topik ‘Urbanisasi dan URA: Survival Melayu Bandar’ malam tadi.
Katanya, konsep manfaat sosial dan ekonomi harus selari dalam proses perancangan membentuk sebuah bandar.
“Perlu seimbang. Kita tak boleh membuat satu pembinaan bandar hanya sudut ekonomi saja. Sebab sosial itu merangkumi budaya,” katanya.
Dalam forum itu, beliau menegaskan, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dibentangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertentangan dengan amalan terbaik dunia dalam menangani masalah perbandaran.
Suhana berkata, ini kerana tiada perkataan pemaju dalam akta yang berkaitan dengan pembaharuan bandar.
“Tapi kenapa dalam RUU PSB ditekankan masalah ambang persetujuan dan yang menjadi peneraju program pembaharuan bandar dalam RUU itu adalah pemaju.
“Kita tengok praktis dunia terbaik, kalau dilihat di negara lain untuk membolehkan dan kuasa diberi kepada agensi kerajaan sebagai pemandu setiap program pembaharuan semula,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.