
SHAH ALAM, 6 Sep 25 – Insiden perwakilan meninggalkan dewan ketika persidangan sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini harus dijadikan pengajaran agar parti lebih menghormati prosedur persidangan, kata pemerhati dari Pahang, Datuk Leong Kim Soon.
Menurutnya, rasa tidak puas hati perwakilan berpunca daripada kelemahan urus tadbir persidangan, termasuk ketiadaan agenda yang jelas, usul yang tidak dibentangkan, dan laporan tahunan yang kosong.
“Saya difahamkan bahawa agenda atau program untuk Perhimpunan Agung Tahunan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat sebelum ini. Itu yang menyebabkan perwakilan tidak puas hati,” katanya selepas kejadian.
Leong menegaskan, walaupun beliau hadir sebagai pemerhati kerana hanya menyertai Bersatu selepas pemilihan parti, maklum balas daripada perwakilan wajar diambil serius oleh kepimpinan.
“Sebagai pemimpin, kita kena dengar suara akar umbi. Pendapat mereka bukan semuanya salah, ada yang boleh dipelajari dan diperbaiki,” ujarnya.
Katanya lagi, kegagalan mengendalikan persidangan dengan tertib boleh menjejaskan imej Bersatu kerana parti politik tidak boleh dipandang remeh seperti sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ini parti politik yang membawa imej dan keagungan, bukan NGO. Kalau persidangan diurus secara cincai, orang akan pandang rendah terhadap parti. Itu satu pengajaran yang baik untuk kita baiki pada masa depan,” katanya.
Insiden ‘walk out’ perwakilan sayap bersekutu itu berlaku pada hari pertama Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, yang berlangsung di Shah Alam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.