
KUALA LUMPUR | 13 Feb 26 – Pemecatan Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainuddin, disifatkan sebagai langkah terdesak oleh Presiden parti, Muhyiddin Yassin, menurut beberapa pemimpin parti yang tampil mengkritik tindakan tersebut.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mendakwa pemecatan itu sudah dijangka dan menggambarkan Muhyiddin kini berada dalam keadaan tertekan. Beliau turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang didakwa sendiri menghantar notis pemecatan, seolah-olah turut bertindak sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin.
Menurut Wan Saiful, sokongan terhadap Muhyiddin dalam parti kini semakin menipis dan hanya bergantung kepada individu yang dilantik dalam jawatan tertentu. Beliau juga mendakwa Lembaga Disiplin dipergunakan untuk menyasarkan Hamzah, sambil menegaskan bahawa sokongan akar umbi masih kukuh memihak kepada Timbalan Presiden yang dipecat itu.
Sementara itu, Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, memberi amaran bahawa pemecatan Hamzah boleh mencetuskan implikasi besar termasuk perpecahan dalaman, kehilangan sokongan akar umbi dan risiko wakil rakyat meninggalkan parti.
Beliau turut berpandangan bahawa tindakan tersebut berpotensi melemahkan kedudukan parti dalam gabungan politik, selain tidak menolak kemungkinan parti komponen seperti PAS mengambil keputusan luar jangka.
Pandangan serupa disuarakan Datuk Suhaimi Mohd Ghazali, mantan Ketua Bahagian Sepang yang melihat BERSATU semakin hilang arah susulan tindakan terhadap pimpinan tertinggi dan beberapa Ahli Parlimen yang tidak sehaluan dengan Presiden.
Menurut beliau, perkembangan itu boleh menyebabkan parti kehilangan sokongan secara mendadak dan berdepan risiko kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Keputusan memecat Hamzah ini dipercayai akan menjadi titik tolak kejatuhan Muhyiddin tidak lama lagi. BERSATU kini hanya dipimpin oleh mereka yang mahu Muhyiddin menjadi Poster Boy demi kelangsungan politik mereka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.