
KUALA LUMPUR, 16 Jun 25 – Umno memilih untuk terus berada dalam kerajaan adalah langkah strategik parti semata-mata mahu memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan itu berkata tempat Umno akan diganti dengan mudah sekiranya parti Melayu itu keluar daripada gabungan kerajaan sekarang.
“Ramai tanya, kenapa kita tak keluar saja daripada kerajaan sekarang? Kalau kita keluar sekarang, dalam dua jam sahaja akan ada parti lain ambil tempat kita dan kita tak mahu jadi tukang sorak di luar, lebih baik kita berada dalam kerajaan, kita boleh buat agenda baharu, kita buat agenda, ubah sesuai dengan zaman,” katanya, selepas majlis perasmian serentak mesyuarat Umno Bahagian Cheras.
Mohamad berkata, agenda itu giat dilaksanakan kepimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui pelaksanaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), walaupun bidang tersebut lazimnya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia.
“Contohnya TVET, kita ambil alih kerana ramai anak Melayu tercicir, bukan sebab gagal peperiksaan, tetapi kerana tidak ambil peperiksaan langsung, jadi kita perlu cipta satu landasan baharu untuk mereka sebab itu kita wujudkan Dasar TVET Negara, Dasar Tahfiz Negara dan pelbagai lagi,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata Umno juga sedang giat memperkukuh parti dengan memberi fokus kepada kerjasama strategik dan pemetaan kawasan yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kita masih dalam keadaan memperkasakan parti, menguatkan ‘badan’ kerana kita lemas pada 2022 dan dinamika politik sekarang tidak boleh rigid lagi kerana seluruh dunia tidak ada satu parti tunggal yang boleh menubuhkan kerajaan.
“Carilah mana parti, carilah mana negara, tak ada lagi dah zaman atau era satu parti dapat menubuhkan kerajaan secara sendiri, ia dah tamat.
“Maka apa cara kita? Itu sebabnya kita sekarang sedang meneliti kawasan mana yang boleh kita jadikan sebagai kawasan yang boleh menang walaupun betul kita ada 192 bahagian tetapi kita mesti menggunakan politik yang realistik, jangan politik idealisme kerana ia akan mengkhayalkan kita, akan menghanyutkan kita,” katanya. @bernama