
KUALA LUMPUR | 10 Jan 26 — Pemecatan Dato’ Sri Saifuddin Abdullah daripada Parti BERSATU mula mencetuskan reaksi protes di peringkat akar umbi apabila Jawatankuasa BERSATU Bahagian Indera Mahkota secara sebulat suara melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti itu.
Dalam kenyataan media hari ini, jawatankuasa berkenaan memaklumkan bahawa mesyuarat yang diadakan pada 9 Januari lalu telah membuat ketetapan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan pemecatan tersebut, yang menurut mereka dibuat tanpa perbicaraan yang adil.
Selain itu, BERSATU Bahagian Indera Mahkota turut berharap agar Lembaga Rayuan BERSATU akan mempertimbangkan rayuan yang bakal dikemukakan oleh Saifuddin Abdullah secara adil, telus dan berhemah demi keutuhan parti.
Kenyataan itu juga menyatakan solidariti penuh jawatankuasa berkenaan bersama Saifuddin Abdullah serta menyatakan sokongan berterusan terhadap kepimpinan beliau.
Saifuddin yang dipecat pada 6 Januari dilaporkan akan membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan parti.
Reaksi protes terbuka akar umbi seperti jangkaan penganalisis politik yang melihat perkembangan siri pemecatan pemimpin-pemimpin dalam BERSATU, akan diikuti dengan perpecahan dikalangan ahli. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.