“PN Bergerak Ke Utara, BERSATU Ke Selatan” — Cendekiawan Persoal Strategi Muhyiddin Guna IPR

KUALA LUMPUR | 11 Mei 26 — Usaha Muhyiddin Yassin menghidupkan gabungan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), mengundang persoalan apabila langkah itu disifatkan tidak memberi nilai strategik kepada masa depan blok pembangkang.

Timbalan Pengerusi Cendekiawan Negara, Prof Madya Ir. Dr Khairudin Md Isa berkata, tindakan Presiden BERSATU itu seolah-olah cuba menghidupkan parti-parti kecil yang tidak mempunyai pengaruh besar dalam politik nasional.

Menurut beliau, parti-parti di bawah IPR hanya bersifat “parti nyamuk” dan tidak mempunyai kekuatan sebenar untuk membantu memperkukuh kedudukan pembangkang.

“Persoalannya, mengapa TSMY lebih sibuk menghidupkan IPR sedangkan BERSATU sendiri masih gagal menunjukkan pelan pemulihan parti?” katanya kepada politiko.

Khairudin berkata, ketika Perikatan Nasional (PN) sepatutnya diperkukuhkan sebagai blok utama pembangkang, tindakan BERSATU bergerak dengan naratif berbeza hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong dan rakyat.

Beliau menyifatkan keadaan itu seperti “PN bergerak ke utara tetapi BERSATU bergerak ke selatan”.

Katanya lagi, tindakan pemecatan dan penggantungan pemimpin Bersatu secara besar-besaran ketika ini turut menambahkan persepsi bahawa parti itu sedang bergelut dengan krisis dalaman yang serius.

“Setakat ini juga tidak kelihatan wujud muafakat kukuh dalam kalangan pemimpin BERSATU yang menyokong TSMY. Hubungan mereka nampak semakin renggang,” katanya.

Menurut Khairudin, jika keadaan itu berterusan, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga tidak akan memperoleh keuntungan politik kerana BERSATU di bawah Muhyiddin dilihat semakin lemah dan sekadar menjadi penumpang di bawah jenama PN.

Beliau menegaskan, pembangkang memerlukan penyatuan strategi dan kepimpinan yang jelas, bukannya eksperimen politik dengan gabungan kecil yang tidak memberi impak besar kepada rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share