
KUALA LUMPUR | 4 Jan 26 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub, menegaskan pemilihan Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) perlu dibuat secara terbuka dan berasaskan merit, susulan laporan cadangan BERSATU untuk melucutkan keahlian secara automatik terhadap mana-mana ahli yang menerima jawatan dalam PN tanpa restu parti.
Menurut Dr Mohd Yadzil, walaupun parti berhak menetapkan peraturan dalaman bagi menjaga disiplin dan kestabilan organisasi, proses pemilihan kepimpinan tertinggi PN tidak wajar dilihat melalui lensa kepentingan satu parti semata-mata.
“Siapa sahaja boleh menyuarakan pandangan dan cadangan, namun keputusan muktamad hanya terletak pada Ahli Majlis Tertinggi PN. Peletakan jawatan Pengerusi sebelum ini juga tidak bermaksud penyerahan kuasa kepada mana-mana parti komponen,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan jawatan Pengerusi PN terbuka kepada mana-mana pemimpin daripada parti-parti komponen PN, termasuk daripada BERSATU sendiri, dan tidak terhad kepada satu parti tertentu. Prinsip keterbukaan itu, katanya, penting bagi memastikan PN terus berfungsi sebagai sebuah gabungan yang berteraskan muafakat, kebersamaan dan keputusan kolektif.
Dr Mohd Yadzil berkata, Pengerusi PN perlu dipilih berdasarkan kewibawaan, sokongan majoriti kepimpinan tertinggi serta kebolehan memimpin, khususnya dalam memastikan PN mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Mereka yang dipilih bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, tetapi mesti mampu menyatukan semua komponen PN, merapatkan saf kepimpinan serta mendamaikan sebarang perbezaan dan kemelut dalaman,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan keutamaan mutlak PN ialah kepentingan gabungan dan keyakinan rakyat, yang perlu mengatasi kepentingan individu atau hierarki parti. Sehubungan itu, semua parti komponen, termasuk PAS, wajar menerima dengan hati terbuka sekiranya calon daripada parti masing-masing tidak memperoleh sokongan majoriti.
“BERSATU juga harus bersedia menerima keputusan bersama, termasuk sekiranya calon daripada parti ini, walaupun bukan Presiden parti, dipilih berdasarkan keyakinan dan sokongan kepimpinan PN,” katanya.
Beliau turut berpandangan sudah tiba masanya Majlis Presiden PN dibentuk bagi memperkukuh struktur gabungan dan memastikan hubungan antara parti komponen kekal utuh serta relevan.
Dalam masa sama, Dr Mohd Yadzil menggesa semua pihak menghentikan polemik yang boleh melemahkan PN dan menumpukan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh organisasi, memperkemas jentera serta mendekati rakyat.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga — demi kekuatan Perikatan Nasional dan masa depan negara,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.