
KUALA LUMPUR , 28 Jul 25 – Pemimpin komuniti India menyatakan rasa tidak puas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mereka seolah-olah tidak berfungsi dalam kerajaan hari ini.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan mengakui pemimpin komuniti India tiada peranan dalam pentadbiran negara walaupun parti itu mewakili sebahagian besar masyarakat India di negara ini.
“Kami lihat secara jujur MIC tidak ada peranan. Saya tidak lihat kerajaan yang ada hari ini memberi keutamaan kepada MIC. Walaupun mereka sedar MIC adalah parti yang besar khususnya parti yang membela masyarakat India.
“Ini salah satu sebab kenapa kerajaan hari ini kehilangan sokongan daripada masyarakat India sebab masyarakat India tidak mempunyai sense of belonging dengan kerajaan sedia ada.
“Seolah-olah mereka tidak ada wakil India. Dia ada menteri India, tetapi menteri India dengan menteri mewakili masyarakat India jauh berbeza,” katanya, dipetik wawancara Mingguan Malaysia.
Jelasnya, komuniti India memerlukan wakil mereka yang benar-benar mewakili masyarakat India daripada kaum India.
“Menteri India boleh daripada parti-parti lain, dia tidak boleh hanya menjuarai masyarakat India sahaja,” katanya.
Beliau turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang tetap mengutamakan komuniti India walaupun ketika itu tidak menerima sokongan penuh masyarakat India.
“Sewaktu Dr. Mahathir menjadi perdana menteri, Umno dulu adalah parti yang terkuat di Malaysia. Melayu bersatu dan tidak berpecah belah. Maka kepimpinan Mahathir 100% bergantung kepada undi Melayu dan Melayu bersatu dan Mahathir tidak perlukan India atau Cina.
“Masyarakat India mungkin tidak sedar peranan Dr Mahathir, dia ialah perdana menteri yang membantu orang India dalam keadaan dia tidak memerlukan pun,” katanya.
Ketika pentadbiran Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan 1.0, beliau turut melantik empat 4 menteri berketurunan India.
Antaranya ialah M. Kulasegaran (DAP) – Menteri Sumber Manusia; Gobind Singh Deo (DAP) – Menteri Komunikasi dan Multimedia; Xavier Jayakumar (PKR) – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli; dan Waytha Moorthy Ponnusamy (Hindraf/PKR) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial).
Anwar pula hanya melantik seorang menteri wakil komuniti India iaitu Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital.
Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau sebelum ini menyatakan kekecewaannya terhadap Anwar yang didakwanya tidak memberikan respons yang baik terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh wakil masyarakat India.
“Kami telah mencuba segala cara untuk membawa rasa tidak puas hati ini secara ikhlas kepada anda, perdana menteri. Tetapi disebabkan kurangnya sambutan yang menggalakkan, persepsi di kalangan rakyat ialah kami (wakil masyarakat India) tidak melakukan apa-apa.
“Ini merosakkan kredibiliti dan reputasi kami di lapangan, walaupun kami telah melakukan tugas kami dengan penuh keikhlasan,” katanya, seperti laporan Malaysiakini. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.