Oleh : Khairuddin Abu Hassan

Majoriti daripada rakyat dan pengundi di negara kita semakin hilang keyakinan dengan pemimpin-pemimpin politik untuk menerajui mana-mana organisasi termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mahupun bukan berteraskan politik.
Suasana lanskap politik tanahair sejak kebelakangan ini sudah menjadi begitu celaru dan caca-merba di kacamata rakyat Malaysia.
Sebab itu dalam isu gerakan ‘Payung Besar’ yang hakikatnya diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad harus dipimpin atau diterajui oleh beliau sendiri.
Sokongan rakyat khususnya orang-orang Melayu nampak semakin kuat menyokong wadah perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga kini.
Mantan Perdana Menteri dua kali ini mempunyai ‘track record’ mentadbir negara secara begitu cemerlang serta masih diyakini oleh majoriti rakyat jelata di negara ini.
Atas dasar ini, Tun Dr Mahathir Mohamad harus dinobatkan sebagai tunggak utama untuk memimpin seterusnya menerajui agenda ‘Payung Besar’ ke arah menyatupadukan keseluruhan bangsa Melayu.
Secara realitinya, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai sebarang bentuk agenda kepentingan peribadi serta tiada hasrat untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia lagi.
Tambahan pada usia 100 tahun sebagai tokoh negarawan yang paling senior Tun Dr Mahathir Mohamad juga dapat memainkan peranan sebagai ‘Bapa’ yang dihormati bagi membantu menyelesaikan apa saja konflik berkaitan dengan penyatuan Melayu secara jitu.
Pengalaman dan ilmu pengetahuan yang amat luas yang tiada tolok bandingannya bakal memunafaatkan agenda ‘Payung Besar’ ini khususnya bagi memperkasakan kedudukan Melayu mahupun agama Islam di bumi Melayu ini.
Namun, apa yang lebih penting yang ada pada sifat Tun Dr Mahathir Mohamad adalah prinsip integritinya yang begitu kuat dipegang oleh beliau dari dulu, kini dan selamanya.
Apa saja fitnah yang ditohmahkan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad oleh golongan yang tidak mempunyai mutu kepimpinan yang senantiasa takut pada bayang-bayang sendiri tetap meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pembela Melayu serta syiar Islam yang terakhir di tanah Melayu.
Bak kata Allahyarham Hj Sulaiman Palestine tokoh pengasas parti UMNO seringkali menyatakan bahawa tiada siapa yang boleh membela nasib masa depan Melayu serta Islam di negara ini secara penuh tanggungjawab, amanah serta komited kecuali Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kemungkinannya atas dasar inilah yang membuatkan Allah swt masih meminjamkan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kita sehingga kini untuk beliau selesaikan perjuangannya yang belum selesai.
Khairuddin Abu Hassan, ADT Muafakat Nasional
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.