
KUALA LUMPUR — Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan menarik semula jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, sekiranya kesemua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), khasnya rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel, tidak dibebaskan terlebih dahulu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyatakan, sekiranya jemputan itu terus dilaksanakan, anak-anak Pemuda UMNO dari seluruh negara akan mengerahkan bantahan besar-besaran di hadapan Trump sewaktu lawatannya ke Malaysia kelak.
“Jika kita tidak ambil tindakan, ini seolah-olah kita membiarkan tekanan terhadap rakyat Malaysia terus berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Menurut laporan, sebanyak 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF telah terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas oleh rejim Zionis di perairan Gaza.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan bahawa Trump akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijangka berlangsung hujung bulan ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.