Penangguhan Sementara Kes Anwar-Yusof Rawther Boleh Sampai PRU16, Kata Peguam

KUALA LUMPUR, 11 Jun 25 – Penangguhan sementara yang diberikan terhadap semua prosiding berkaitan saman sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual pada 2018 boleh memakan masa sehingga setahun, kata peguam.

Haniff Khatri Abdulla berkata, untuk memulakan semua proses itu akan memerlukan masa panjang berdasarkan kekosongan diari mahkamah.

“Bila ditangguhkan sementara nak tetapkan balik mahkamah akan ambil diari semula lihat tarikh kosong, saya tak terkejut tarikh kosong lebih enam bulan hingga setahun akan datang.

“Ada kemungkinan kes ini ditangguhkan terus sampai 2026. Sebab Setahun. Selepas itu sudah PRU16,” katanya, dalam rakaman video berhubung penjelasan penangguhan tersebut.

“Bunyinya tangguh sementara tapi tiada sementara dalam kesementaraan dalam kes ini.”

Haniff berkata, sekiranya itu berlaku, maka tujuan persoalan perlembagaan diajukan ke Mahkamah Persekutuan tidak lagi dilihat kepentingannya pada waktu itu.

“Sekarang nampak penting. Ini melibatkan kerusi seorang perdana menteri.

“Rakyat perlu tahu dengan lengkap, apa kesan, apa boleh jadi, supaya rakyat tak terjah buat persepsi tak patut supaya mahkamah tak ditohmah mana mana pihak,” kata Haniff lagi.

Pihaknya turut mengingatkan untuk menetapkan semula tarikh perbicaraan akan memerlukan masa yang panjang.

“Masa itu jangan salahkan mahkamah, mahkamah kena hormat semua pihak lain yang datang mahkamah nak bicara,” tambah Haniff

Keputusan penangguhan sementara itu dibuat selepas panel tiga hakim membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan saman sivil itu sehingga keputusan dibuat berkenaan permohonan penangguhan penuh oleh perdana menteri.  

Panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sebulat suara membenarkan permohonan penggantungan sementara (ad interim stay) sehingga 21 Julai ini.

Pada tarikh tersebut, Mah­kamah Rayuan akan men­dengar penggantungan penuh perbicaraan sehingga rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang didengar dan diputuskan.@politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share