
KUALA LUMPUR, 21 NOV 25 — Kekuatan Bersatu adalah kerana pemimpin dan ahli yang setia walaupun parti tidak lagi berada di puncak kuasa, kata bekas Ketua Bersatu Bahagian Ampang yang dipecat, Mohd Isa Mohd Saidi.
Katanya, budaya politik lama sekumpulan kecil yang masih terperangkap dalam budaya politik tawar-menawar, politik sembunyi tangan, politik belakang tabir dan politik yang hanya kuat ketika mengintai peluang peribadi tidak sesuai dengan Bersatu.
“Kita semua tahu wujud satu kelompok yang cuba bergerak di belakang tabir, memainkan naratif kononnya merekalah penyelamat parti.
“Namun hakikatnya, kumpulan ini hanya muncul apabila ada ruang untuk kepentingan sendiri, dan menghilang ketika parti diuji,” katanya, dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu katanya pernah diberi kepercayaan, tetapi apa yang dibalas hanyalah episod yang memalukan parti dan melemahkan kepercayaan rakyat.
“Bersatu tidak dibina atas skandal, samada skandal rasuah menantu, skandal bilik hotel dan tidak akan berdiri dengan mereka yang masih membawa beban sejarah itu ke sana sini.
“Kita tidak perlukan mana-mana individu atau kumpulan yang menjadikan parti sebagai pentas untuk memulihkan imej mereka,” katanya.
Malah, sekarang bukan masa untuk mengangkat kembali tokoh yang telah pun menjadi liabiliti kepada semua usaha Bersatu.
“Saya nak mengingatkan kepada semua, arah kita jelas, parti mesti dipimpin oleh mereka yang bersih, konsisten, dan setia dengan perjuangan.
“Bukan mereka yang ‘kuat’ kerana pernah duduk dalam kerajaan, tetapi mereka yang tetap bersama ketika parti berada dalam kegelapan.
“Tidak ada ruang untuk kumpulan beragenda peribadi, apatah lagi yang masih menjadi bahan ejekan politik seluruh negara,” tegas Isa.
Dia turut menyeru agar budaya politik lama disingkirkan daripada parti itu.
“Masa depan Bersatu tidak boleh disandarkan pada individu yang pernah mencalarkan maruah bangsa dan agama.
” Masa depan Bersatu hanya boleh dibina oleh mereka yang benar-benar layak membawa panji perjuangan.
” Sudah tiba masanya kita tutup pintu kepada politik lama dan buka halaman baru untuk parti yang lebih kuat, lebih bersih, dan lebih dihormati,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.