
ANALISA BERITA | 26 NOV 25 — Pendedahan bertali arus menerusi media mengenai hubungan antara ahli perniagaan Albert Tei dan bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, kini berkembang menjadi isu integriti politik terbesar yang perlu ditangani kerajaan Madani.
Walaupun butiran dakwaan belum jelas, namun naratif tersebut sedang berkembang dikalangan rakyat. Hingga kini belum ada maklum balas dari pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkembangan terbaru ini meledak sejurus selepas pertemuan Albert Tei dengan mantan Perdana Menteri. Dan selepas itu, beberapa bukti dakwaan telah tersebar di media-media sosial yang dilaporkan oleh portal media.
Dakwaan Albert bahawa sejumlah bayaran dan pelbagai bentuk “bantuan” disalurkan kepada Shamsul, dengan pelbagai butiran lain, amat mengejutkan semua pihak. Sekalipun bukti tersebut belum disahkan secara bebas, kewujudannya mencetuskan tekanan politik yang nyata.
Peletakan jawatan Shamsul semalam pula menambahkan lapisan baharu pada naratif ini. Penafian menteri Nga Kor Ming menyatakan perletakan jawatan Shamsul hanya berkait isu surat sokongan, bukan dakwaan rasuah atau penerimaan wang.
Namun, kenyataan Menteri ini tidak menjernihkan keadaan kerana perbezaan antara naratif rasmi dan persepsi awam membuka ruang spekulasi yang sukar dikawal.
Sebelum ini, tular rakaman video yang melibatkan pemimpin GRS dalam isu lesen perlombongan mineral di Sabah.
Berdasarkan perkembangan terkini, pembangkang menuntut penjelasan penuh dan siasatan menyeluruh oleh SPRM, menandakan isu ini mungkin melebar ke medan politik Sabah yang sudah sedia hangat dalam kempen Pilihan Raya Negeri ke 17.
Rentetan dari siri pendedahan ini, Perdana Menteri berdepan dengan cabaran kritikal dalam memastikan integriti politik kerajaan beliau, kekal teguh. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.