Penduduk Dakwa Projek Perkuburan Islam Moden Hanya Helah Buka Laluan ke Anyara Hills, Nirvana

SEMENYIH | 9 Julai 26 – Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Pening, Mukim Hulu Semenyih bersama Pemuda Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Parlimen Hulu Langat mendakwa cadangan pembinaan sebuah Tanah Perkuburan Islam Moden di kawasan itu hanyalah helah bagi membuka laluan akses utama ke projek perumahan Anyara Hills dan kompleks pengurusan perkuburan swasta Nirvana.

Mereka mendakwa projek berkenaan bukan sekadar melibatkan pembangunan tanah perkuburan, sebaliknya merupakan strategi untuk membolehkan pihak pemaju menggunakan jalan sedia ada di kawasan kampung sebagai laluan pintas ke dua projek pembangunan tersebut.

Jurucakap jawatankuasa itu, Azhar Abdul Razak berkata, hasil penelitian penduduk mendapati terdapat beberapa kejanggalan pada pelan pembangunan yang dikemukakan.

“Dakwaan kami ialah projek Tanah Perkuburan Islam Moden ini dijadikan sebagai ‘kabur mata’ untuk membuka laluan baharu yang akhirnya akan disambungkan terus ke projek Anyara Hills dan Nirvana.

“Jika perkara ini berlaku, jalan komuniti yang sempit akan menjadi laluan utama kepada kenderaan pembinaan dan trafik harian, sekali gus menjejaskan keselamatan penduduk serta merosakkan infrastruktur sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penduduk turut mempersoalkan penggunaan projek perkuburan Islam yang didakwa boleh mempengaruhi persepsi masyarakat dan memudahkan proses mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Antara kebimbangan utama penduduk ialah peningkatan jumlah kenderaan berat sepanjang tempoh pembinaan, kesesakan lalu lintas, risiko keselamatan kepada kanak-kanak serta gangguan terhadap ketenteraman kawasan perumahan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Bertindak Penduduk mengemukakan dua tuntutan utama kepada pihak berkuasa.

Mereka mendesak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Kerajaan Negeri Selangor menggantung serta-merta sebarang kelulusan Kebenaran Merancang (KM) berkaitan projek jalan berkenaan sehingga siasatan menyeluruh dijalankan.

Selain itu, mereka turut menuntut supaya satu Penilaian Impak Trafik (TIA) yang baharu dilaksanakan secara bebas dan telus dengan mengambil kira bantahan serta pandangan penduduk setempat.

Azhar berkata, sekiranya kebimbangan penduduk terus diabaikan, komuniti setempat tidak menolak untuk membawa perkara itu ke saluran undang-undang selain mengadakan demonstrasi aman bagi mempertahankan hak mereka.

Setakat ini, pihak pemaju Anyara Hills, Nirvana, MPKj dan Kerajaan Negeri Selangor belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh penduduk.

Hari ini media melaporkan bahawa kerajaan menegaskan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih, Selangor telah dirancang sejak 2005 bagi menangani kekurangan tapak perkuburan Islam di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di Semenyih.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan yang tular di media sosial berhubung projek berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share