
KUALA LUMPUR, 17 Sep 25 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa perebutan untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri tidak membawa makna jika parti yang diwakili gagal memperoleh majoriti kerusi Parlimen.
Menurut beliau, perhitungan mudah politik pilihan raya menunjukkan seseorang calon hanya boleh diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya partinya berjaya menguasai sekurang-kurangnya 112 kerusi Dewan Rakyat.
“Calon tidak akan jadi Perdana Menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi. Untuk menang 112 kerusi, partinya perlu letak lebih daripada itu. Tetapi parti lain juga akan letak calon, jadi tidak mungkin satu parti sahaja mampu mencapai angka tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dr Mahathir berkata, realitinya peluang mana-mana parti tunggal untuk memenangi jumlah kerusi yang mencukupi adalah tipis, justeru mana-mana individu yang diangkat sebagai calon Perdana Menteri tidak semestinya akan menduduki jawatan tersebut.
“Tak usahlah berebut-rebut nak jadi calon Perdana Menteri. Sebaliknya, berusahalah untuk Melayu bersatu. Hanya jika Melayu bersatu sahaja baharulah kemenangan boleh dicapai,” jelas beliau.
Tambah Dr Mahathir, hanya selepas kemenangan majoriti tercapai, barulah wajar diputuskan siapa yang paling layak dipilih sebagai Perdana Menteri.
“Semua yang berbakat boleh bertanding untuk jadi Perdana Menteri, tetapi ia hanya boleh ditentukan selepas kejayaan dalam pilihan raya,” ujarnya.
Kenyataan itu dilihat sebagai mengulas persaingan terbuka di kalangan parti-parti politik Melayu yang sejak kebelakangan ini sering menonjolkan tokoh masing-masing sebagai calon Perdana Menteri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.