
KUALA LUMPUR, 11 Sep 25 – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam keras tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 kediaman di Kampung Sungai Baru hari ini, sambil menyifatkannya sebagai tindakan zalim kerana rayuan penduduk masih belum selesai di Mahkamah Rayuan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata walaupun pemaju memperoleh perintah mahkamah melalui Order 89 pada 20 Ogos lalu, mereka sepatutnya menunggu keputusan rayuan yang ditetapkan untuk didengar pada 3 Oktober 2025.
“Sepatutnya pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan zalim,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Ahmad Fadhli, perintah Order 89 hanya membenarkan pemaju memasuki kawasan termasuk membuka pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah, namun ia tidak membenarkan perobohan atau penggunaan jentera berat.
Beliau mendakwa operasi pagi ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain tindakan agresif pihak pemaju, yang menurutnya menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
PAS turut menzahirkan simpati kepada penduduk yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak, selain kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut.
Parti itu turut memberi amaran bahawa peristiwa di Kampung Sungai Baru adalah “gambaran awal” terhadap kesan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijangka dibentang semula di Parlimen pada Oktober depan.
“Tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh, dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri,” tegas Ahmad Fadhli.
PAS menyeru rakyat Malaysia untuk bersama membela penduduk Kampung Sungai Baru serta membantah RUU URA, bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa depan.
Pagi ini, satu operasi pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru dijalankan. Kerja pengosongan dijalankan oleh pegawai mahkamah (jailif) dengan kawalan penuh pihak polis. Beberapa penduduk cuba merempuh sekatan bagi menghalang operasi, namun keadaan berjaya dikawal tanpa insiden besar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.