
KUALA LUMPUR, 14 MEI 25 – Penyatuan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengambil kira latar belakang bangsa, adalah lebih utama berbanding kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu bersatu atas nama kaum.
Graduan Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, 26, berkata, sekiranya hasrat penyatuan tertumpu kepada satu-satu kaum sahaja, krisis sesama kaum tidak akan tamat.
“Saya tak nafikan hak Melayu semua itu tapi objektifnya mesti kena jelas…kita kena ‘moving forward’, kalau masih asingkan setiap bangsa selagi itu kita akan rasa Malaysia akan sama di takuk ini.
“Anak muda Malaysia faham kena bina Malaysia bukan satu entiti satu bangsa tapi semua sekali. Kalau nak bersama macam zaman Merdeka dahulu, berpecah kepada entiti tertentu, selamanya kita takkan maju, asyik bergaduh sesama kita,” katanya, kepada politiko.my.
Jelasnya, konsep penyatuan pelbagai kaum lebih besar matlamat dan tujuannya, sekaligus ia harus menjadi objektif yang utama.
“Kena sedar di Malaysia kita berbilang kaum. Lebih baik bersatu dengan objektif sama,” katanya.
Halim Mutalib, 32, graduan perbankan dari UiTM berpandangan, sukar untuk Melayu bersatu dengan sikap pentingkan diri.
“Selagi orang Melayu masih bersifat pentingkan diri, tak ikhlas, tak perjuangkan Melayu itu sendiri tak jadilah. Ia akan jadi terpecah pecah.
“Sebenarnya Melayu boleh bersatu kalau kita betul-betul ikhlas nak satukan Melayu, nak pastikan Melayu pegang kedudukan politik kena ikhlas.
“Lapang dada, ideologi masing-masing kena open. Baik Umno, Bersatu, PAS kena terbuka demi kekuatan Melayu sekarang atau masa hadapan,” katanya.
Husna, 28 graduan Unimas dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia pula berpendapat, persoalan penyatuan Melayu masih lagi releven namun ia bergantung kepada keikhlasan pemimpin.
“Masalah nak bersatu bukan isu, isunya lepas bersatu, nak buat apa?
“Selalu dah jadi, lepas bergabung kemudian masih ada yang tak puas hati, isu kuasa, isu jawatan, gaduh tak habis, semua ni jadikan orang muda malas dah. Ujarnya semasa dihubungi.
Menurutnya, pengalaman lepas membuatkan orang muda tawar hati nak terlibat dan bersuara hal politik kerana kesannya tak seberapa.
“(Orang muda) bukan tak peduli masalah orang Melayu, tapi pemimpin bila dah ada uasa, tak buat apa pun.
“Cerita tentang Melayu ni tak ubah apa-apa, pemimpin yang ada memang tak buat apa, kita rasa jemu dah. Katanya. @politiko.my