
KUALA LUMPUR | Agenda penyatuan ummah tidak seharusnya terhad kepada PAS dan UMNO sahaja, sebaliknya perlu merangkumi semua parti politik Melayu-Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin masyarakat.
Pengerusi Pertubuhan Gabungan Ummah Malaysia (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, konsep penyatuan ummah perlu bersifat inklusif bagi menghimpunkan seluruh kekuatan Melayu-Islam dalam satu saf.
Menurutnya, UMMAH menyokong seruan penyatuan ummah yang menjadi antara agenda penting Muktamar Tahunan PAS Malaysia ke-72 dan turut mendapat sokongan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026.
“Penyatuan ummah bukan lagi pilihan, tetapi keperluan utama dan mendesak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata cabaran seperti kos sara hidup, serangan terhadap institusi Islam, liberalisme dan politik perpecahan memerlukan seluruh kekuatan Melayu-Islam bergerak bersama.
Dalam pada itu, UMMAH menggariskan tiga prinsip utama yang perlu menjadi asas kepada agenda berkenaan.
Pertama, mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu, selain memastikan hak semua kaum dipelihara.
Kedua, menegakkan kebenaran dan menolak kemungkaran termasuk membanteras rasuah, membasmi kemiskinan serta menolak salah guna kuasa dan sebarang usaha yang mencabar syariat serta institusi Islam.
Ketiga, membawa pendekatan kerajaan yang berteraskan kemanusiaan dan insani dengan memastikan penyatuan ummah tidak mengancam kaum minoriti atau kebebasan agama lain.
Sebaliknya, kata UMMAH, agenda itu perlu membawa keadilan dan kebajikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Mohd Zai turut menyeru semua pihak mengetepikan kepentingan kepartian serta sejarah silam demi masa depan umat dan negara.
“Semua pihak perlu duduk semeja dalam satu ‘Rundingan Penyatuan Ummah’ yang dianggotai pelbagai parti politik, NGO dan NGI untuk merangka hala tuju bersama,” katanya.
UMMAH percaya penyatuan yang inklusif dan ikhlas dapat memperkukuh usaha membela Islam, bangsa dan negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.