Perang Iran Kini ‘Sampai ke Dapur’: PN Gesa Sidang Khas Parlimen

KUALA LUMPUR | 3 April 26 — Kesan perang Iran tidak lagi terhad kepada geopolitik global, sebaliknya mula menghimpit realiti domestik apabila isu keterjaminan makanan negara kini berada dalam zon berisiko.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberi amaran bahawa lonjakan harga minyak dunia akibat konflik tersebut sedang memberi tekanan langsung kepada sektor pertanian, sekali gus mengancam bekalan makanan asas rakyat, khususnya beras.

“Apa maknanya wujud kawalan harga minyak tetapi beras tidak mencukupi?” soalnya, merujuk keutamaan dasar kerajaan yang didakwa tidak seimbang.

Menurut beliau, golongan pesawah kini berdepan tekanan berganda apabila hasil padi merosot akibat kemarau, dalam masa sama kos operasi melonjak susulan kenaikan mendadak harga diesel.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan sebahagian pesawah mula mempertimbangkan untuk tidak menanam musim baharu kerana tidak sanggup menanggung kerugian.

“Ini bukan lagi kebimbangan teori — ia sudah berlaku di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin turut mengkritik mekanisme harga lantai padi sedia ada yang disifatkan tidak lagi mencerminkan kos sebenar penanaman, khususnya selepas kenaikan harga bahan api.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menyemak semula kadar tersebut dengan mengambil kira kos semasa sebagai langkah segera melindungi pesawah dan memastikan kesinambungan pengeluaran makanan negara.

“Ini pendekatan yang lebih spesifik dan tepat untuk menjamin keterjaminan makanan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sebagai “perang tanpa provokasi” yang bukan sahaja melanggar kedaulatan, tetapi turut menekan pasaran tenaga global.

Katanya, keadaan itu memberi kesan kepada kedudukan fiskal negara serta keupayaan kerajaan meneruskan subsidi dan bantuan kepada rakyat.

Sehubungan itu, Saifuddin menyokong gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin agar satu Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan segera bagi membincangkan implikasi menyeluruh konflik tersebut.

Menurut beliau, sidang itu penting bagi menilai kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, khususnya ancaman terhadap bekalan makanan.

“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam konteks lebih luas, Saifuddin turut menggesa Malaysia memainkan peranan lebih aktif dalam usaha menghentikan konflik secara adil, termasuk mempromosikan prinsip “kehidupan bersama secara damai” di peringkat antarabangsa.

Namun tegasnya, keutamaan segera adalah memastikan rakyat tidak menjadi mangsa kepada kesan rantaian perang yang semakin melebar.

“Yang paling penting, kita mesti lakukan yang terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share