
KUALA LUMPUR | 23 Ogos 26 – Parti Gerakan Rakyat Malaysia, GERAKAN, mula memperkemaskan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk Pilihan Raya Negeri Melaka.
Perkara itu diputuskan selepas parti berkenaan selesai melaksanakan proses post-mortem Pilihan Raya Negeri Sembilan baru-baru ini.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu, GERAKAN berkata jentera parti di semua peringkat akan terus diperkukuh dan diperkemaskan sebagai persediaan menghadapi PRU dan PRN.
Bermula September ini, GERAKAN juga akan mengadakan Persidangan Perwakilan Negeri secara berperingkat di seluruh negara.
Pada masa sama, parti itu merancang melancarkan jentera pilihan raya di setiap negeri bagi memastikan persiapan dapat dilakukan lebih awal dan secara tersusun.
Bagi PRN Melaka pula, GERAKAN berkata persiapan akan dibuat secara teratur, menyeluruh dan teliti, termasuk dari aspek organisasi, strategi, jentera serta kesiapsiagaan di peringkat akar umbi.
Perkembangan itu menunjukkan GERAKAN mula menyusun gerak kerja pilihan raya lebih awal, selepas mengambil iktibar daripada prestasi parti pada PRN Negeri Sembilan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.